Selasa, 18 Januari 2022 | 10:59am
Foto disiarkan media pada 27 Disember 2021 mengenai keadaan Kondominium Sri Duta 1 yang tidak selamat didiami.
Foto disiarkan media pada 27 Disember 2021 mengenai keadaan Kondominium Sri Duta 1 yang tidak selamat didiami.

DBKL lantik perunding kaji runtuhan cerun

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melantik Kumpulan Ikram Sdn Bhd sebagai pakar perunding bagi menjalankan kajian awalan dan pemantauan di dua lokasi runtuhan cerun di ibu kota, iaitu Kondominium Sri Duta 1 dan Kondominium Bangsar Indah, di sini.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL memaklumkan, mengikut status kajian pakar perunding, Kondominium Sri Duta 1 mengalami pergerakan tanah yang memberi kesan kepada struktur bangunan hingga menyebabkan 'column' dengan dinding bangunan terpisah.

Selain itu, berlaku retak tegangan (surface tension cracks) di beberapa permukaan tanah selain keretakan di bawah lantai.

"Di Kondominium Bangsar Indah pula, Kumpulan Ikram Sdn Bhd mencadangkan penyelesaian sementara dan DBKL mengarahkan kontraktor berpenggal cerun untuk melakukan kerja pembaikan dan mengambil pendekatan semburan konkrit bagi mengukuhkan cerun.

"Beberapa batang pokok condong yang tidak lagi kuat dan berkemungkinan tumbang di Kondominium Bangsar Indah, kini masih ditebang bagi memastikan gelongsoran tanah tidak berulang dan penduduk sentiasa dalam keadaan selamat," kata DBKL dalam dalam kenyataan hari ini.

Runtuhan cerun di Kondominium Sri Duta 1 dan Kondomiun Bangsar Indah, Disember lalu disebabkan hujan lebat berterusan di Lembah Klang.

Menurut kenyataan itu lagi, setakat ini, kerja pembaikan sementara di Kondominum Sri Duta 1 sudah dijalankan kontraktor dilantik badan pengurusan kondominium berkenaan, membabitkan pengalihan aliran air permukaan dan semburan konkrit (shortcrete).

Ia dilakukan bertujuan mengukuhkan cerun di kondominium terbabit dan cadangan pembaikan kekal akan dikeluarkan perunding dilantik perbadanan pengurusan dengan kerja merekabentuk pembaikan kekal masih dalam proses tindakan pihak perunding.

"Di Kondominium Bangsar Indah, kerja pembaikan sementara masih dijalankan, membabitkan beberapa proses pembersihan sisa runtuhan. Ia termasuk mengadakan saliran baharu untuk aliran air hujan, pembersihan bongkah konkrit tergantung di tengah cerun dan pembersihan rumah yang terkesan susulan kejadian tanah runtuh terbabit.

"Satu lagi sesi libat urus akan diadakan bersama penduduk selepas kerja pembaikan sementara siap sepenuhnya yang dijangka dalam tempoh sebulan," katanya.

Berita Harian X