Selasa, 18 Januari 2022 | 8:40am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

TTPM terima tuntutan bengkel kenderaan RM3 juta bagi 2020-2021

KUALA LUMPUR: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) menerima 413 tuntutan kategori bengkel kenderaan bernilai lebih RM3 juta bagi tempoh 2020 hingga 2021.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata daripada jumlah nilai itu, lebih RM266,000 award telah dikeluarkan TTPM, manakala kes selebihnya belum selesai.

"Jika ada aduan, ada masalah, lapor pada kita (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)), kita akan siasat dan syorkan untuk pergi kepada TTPM kerana itu hak pengguna," katanya pada program Ruang Bicara dengan tajuk 'Pascabanjir: Tahu Hak Pengguna, Elak Teraniaya' terbitan Bernama TV, malam tadi.

Beliau berkata, perkara paling penting adalah untuk pengguna menyimpan resit pembelian supaya dapat dijadikan sebagai bahan bukti dan memudahkan pihak penguat kuasa melakukan siasatan terhadap kes berkenaan.

Sementara itu, Rosol berkata, sehingga hari ini, KPDNHEP sudah memeriksa lebih daripada 1,000 barangan antaranya pakaian, alat ganti kenderaan dan peralatan di lebih 300 premis seluruh negara menerusi Op Cakna yang dijalankan sejak 1 Januari lalu, dengan fokus terhadap negeri terjejas akibat banjir.

Semalam, Rosol dilaporkan berkata, tujuan Op Cakna dilaksanakan untuk mengelak berlakunya aktiviti mengambil untung yang tinggi oleh peniaga ketika permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan tertentu meningkat selepas banjir.

Katanya, fokus barangan antaranya peralatan elektrik, perabot, pakaian, alat ganti kenderaan dan bengkel kenderaan yang harganya tidak dikawal kerajaan. – BERNAMA

Berita Harian X