Selasa, 18 Januari 2022 | 8:26am
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyempurnakan pembukaan stesen minyak mini mudah alih PCS ROVR di Kampung Linbawang, Beaufort. - Foto KPDNHEP
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyempurnakan pembukaan stesen minyak mini mudah alih PCS ROVR di Kampung Linbawang, Beaufort. - Foto KPDNHEP

PCS ROVR bekal bahan api ke luar bandar

KOTA KINABALU: Sistem Kontena Mudah Alih (PCS) ROVR dijadikan kaedah baharu pengedaran bahan api di kawasan yang jauh dari stesen minyak, khususnya di luar bandar atau lokasi yang terjejas akibat bencana alam.

Kaedah itu yang diselia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mula dilaksanakan di Sabah dengan kerjasama syarikat minyak dan gas termasuk PETRONAS.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata ia adalah satu model pembekalan stesen minyak yang dikawal selia kementeriannya mengikut Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 (Akta 144).

"Ia sangat berguna untuk kawasan yang tiada stesen minyak atau stesen minyak itu tidak dapat digunakan akibat daripada bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh," katanya dalam kenyataan selepas melancarkan PCS ROVR pertama yang dibuka dengan kerjasama PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) di Beaufort, semalam.

Katanya, PCS ROVR Beaufort yang beroperasi sejak 26 November lalu di Kampung Linbawang itu adalah antara PCS ROVR dalam perancangan pembekalan oleh PDB kepada masyarakat luar bandar di Sabah.

Ketika ini, katanya, PCS ROVR Beaufort itu adalah satu-satunya berjenama PETRONAS yang sudah beroperasi di Sabah dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat dengan jualan harian melebihi sasaran.

"Terdapat dua PCS ROVR berjenama PETRONAS lagi sedang dibina selain PCS ROVR Beaufort yang mana tapak pembinaannya sudah diluluskan oleh KPDNHEP dan dijangka akan beroperasi pada tahun ini.

"Selain PCS ROVR Beaufort di bawah PDB, terdapat empat PCS ROVR jenama lain juga sedang beroperasi di Sabah. Keseluruhannya, ketika ini ada lima PCS ROVR yang beroperasi di Sabah," katanya.

Alexander berkata, PETRONAS juga sedang menimbang untuk menjadikan PCS ROVR sebagai model stesen minyak mini pada masa akan datang dengan modal yang mampu milik bagi pengusaha atau peniaga kecil.

Kaedah itu, katanya, sesuai kerana tidak memerlukan tanah yang luas untuk beroperasi, bergantung kepada jumlah penduduk, kenderaan dan keperluan petrol di sesebuah lokaliti yang tidak mendapat perkhidmatan stesen minyak penuh.

"KPDNHEP sentiasa mengalu-alukan dan menyokong inovasi baharu perniagaan yang boleh mendatangkan nilai tambah dan faedah kepada pengguna," katanya.

Berita Harian X