Isnin, 17 Januari 2022 | 4:48pm

50 bot untuk polis mantap operasi ketika banjir

KUANTAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperuntukkan RM3.05 juta untuk pembelian 50 bot pelbagai saiz sebagai tambahan aset kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penambahan aset itu dalam usaha membantu operasi keselamatan dan menyelamat mangsa ketika banjir.

Katanya, setakat ini, kementerian sudah menerima tujuh bot pelbagai saiz yang diberikan kepada negeri yang memerlukan bot berkenaan.

"Baki 43 bot lagi dijangka diterima dalam tempoh 10 minggu ini untuk memastikan aset berkenaan dapat diserahkan kepada negeri yang memerlukan.

"Bagi tujuh bot jenis Whaly pelbagai saiz yang diterima dengan nilai keseluruhan berjumlah RM267,000.

"Bot ini adalah berdasarkan kesesuaiannya dalam operasi keselamatan dan menyelamat mangsa ketika banjir yang tahan lasak," katanya.

Hamzah berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja Pengurusan Banjir Pantai Timur di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Galing, di sini hari ini.

Mengulas penyerahan bot berkenaan, beliau berkata, ia bergantung kepada tahap keperluan setiap negeri.

Namun, katanya, negeri yang lebih berisiko berdepan bencana banjir akan diberikan tumpuan.

"Bagaimanapun, penyerahan bot itu akan diberikan selepas mendapat maklumat terperinci keperluan bagi setiap negeri," katanya.

Hamzah Zainudin memeriksa aset keperluan untuk kegunaan banjir selepas majlis penyerahan bot kepada PDRM di Padang Kawad PGA Kem Galing - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Hamzah Zainudin memeriksa aset keperluan untuk kegunaan banjir selepas majlis penyerahan bot kepada PDRM di Padang Kawad PGA Kem Galing - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X