Ahad, 16 Januari 2022 | 3:52pm

262 peniaga kena notis catut pasca banjir

KUALA BERANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan 262 notis pengesahan maklumat barangan dalam Ops Cakna yang dibuat sepanjang pasca banjir mulai awal bulan lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata KPDNHEP menerima sebanyak 167 aduan mengenai pelbagai kenaikan harga barangan termasuk upah perkhidmatan perkhidmatan pemasangan alat ganti kenderaan.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 98 notis dikeluarkan susulan kenaikan harga makanan, minuman (27), perkhidmatan (25), alat ganti kenderaan (10) dan tujuh kes harga sayur.

"Notis pengesahan maklumat barangan itu dikeluarkan ke atas peniaga mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

"Peniaga yang menerima notis itu perlu mengemukakan maklum balas dan maklumat secara terperinci harga jualan dan kos barangan bagi memudahkan siasatan untuk menentukan sama ada wujud unsur pencatutan atau mengambil keuntungan berlebihan," katanya.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, berkata demikian kepada media selepas merasmikan merasmikan program perjumpaan dengan Jurumandi dan Pembantu Jurumandi Jenazah di Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Pegawai Pejabat Agama Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu Daerah Hulu Terengganu, Wan Muhammad Zulhilmi Wan Zawawi.

Rosol (dua kanan) beramah mesra dengan beberapa jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah selepas merasmikan perjumpaan dengan petugas itu di Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, di sini, hari ini. - NSTP/Baharom Bakar
Rosol (dua kanan) beramah mesra dengan beberapa jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah selepas merasmikan perjumpaan dengan petugas itu di Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, di sini, hari ini. - NSTP/Baharom Bakar

Mengulas lanjut, Rosol berkata, Ops Cakna dibuat susulan berlakunya kenaikan harga pelbagai barangan termasuk alat ganti kenderaan dan barangan elektrik serta perabot sepanjang tempoh pasca banjir.

Katanya, tumpuan utama operasi adalah peniaga pelbagai barangan elektrik, perabot, pakaian serta alat ganti kenderaan dan upah perkhidmatan di bengkel kenderaan.

"Setakat ini tiada tindakan dikeluarkan dan peniaga yang diberi notis diberi tempoh untuk menjawab secara terperinci terutama membabitkan harga jualan dan kos barangan," katanya.

Rosol berkata, bagi mengelakkan masyarakat terutama mangsa banjir menjadi mangsa penipuan, mereka diminta menyemak harga termasuk kos perkhidmatan sebelum memuktamadkan pembelian.

Katanya, kaedah itu paling berkesan bagi mengelakkan berlakunya permasalahan selepas perkhidmatan diberikan.

"Pengguna juga dinasihatkan membeli pelbagai barangan di kedai yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memudahkan tindakan dilakukan," katanya.

Berita Harian X