Ahad, 16 Januari 2022 | 1:38pm
Kolam Takungan Banjir Batu, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Kolam Takungan Banjir Batu, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Fungsi 4 kolam takungan banjir kekal walaupun sudah dipindah milik

KUALA LUMPUR: Empat kawasan kolam takungan banjir di ibu negara yang diluluskan kepada pihak ketiga untuk tujuan pembangunan, dijamin kekal dengan fungsi asalnya dan tidak ditimbus, manakala sebahagian akan turut dinaik taraf sebagai tapak aktiviti rekreasi.

Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Yasir Yahya, memberitahu BH, empat kawasan berkenaan adalah kolam takungan Batu, Nanyang, Delima dan Taman Wahyu.

"Kawasan berkenaan bukan sahaja akan kekal seperti mana fungsi asalnya, malah menerusi langkah tambahan yang diambil meliputi aspek pematuhan ulasan teknikal daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tapak terbabit juga bersifat dwifungsi.

"Dwifungsi yang dimaksudkan adalah sebahagian daripadanya akan dinaik taraf sebagai tapak rekreasi yang bukan sahaja memberi nilai tambah kepada kawasan sekitar, malah turut mendatangkan manfaat kepada masyarakat, khususnya komuniti setempat," katanya.

Muhammad Yasir menjelaskan, kelulusan pemilikan yang dikeluarkan untuk baki dua kawasan kolam takungan banjir, masing-masing di Taman Desa sudah dibatalkan, manakala di Batu 4 1/2 pula, pemohon ditetapkan supaya melaksanakan kerja naik taraf.

Katanya, kolam takungan banjir di Batu 4 1/2 akan mempunyai dwi fungsi, iaitu sebagai taman rekreasi awam selain fungsi utama untuk tebatan banjir, manakala di Taman Desa, tiada pembangunan boleh dilaksanakan dan ia kekal seperti maksud pewartaan rizabnya.

"Merujuk Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi 2019 yang didedahkan kepada umum, ada perkara perlu diperjelaskan, iaitu hanya empat kawasan kolam takungan banjir yang diluluskan untuk pengeluaran hak milik oleh Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKTWPKL).

"Pengeluaran hak milik itu juga adalah selepas mengambil kira ulasan teknikal JPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPSWPKL). Syarat kritikal daripada JPSWPKL ditetapkan sebagai perkara yang wajib dipatuhi syarikat pemohon sebelum apa-apa pembangunan boleh dijalankan di atas plot tanah berkenaan," katanya.

Mengenai pewartaan kawasan kolam takungan banjir, beliau berkata, terdapat plot tapak kolam itu yang asalnya tidak pernah diwartakan seperti fungsi yang dinyatakan, iaitu sebagai kawasan lapang dan rekreasi sahaja, bukannya untuk kolam takungan banjir, manakala sebahagian lagi belum diwartakan sebagai awah rizab walaupun di atas tanah takungan banjir sedia ada.

"Berdasarkan keadaan itu, kawasan yang berkenaan sudahpun dipinda tujuan rizabnya supaya selaras dengan keadaan di atas tanah dan perkara ini dipersetujui secara bersama oleh jabatan serta agensi yang bertanggungjawab mengurus tadbir kawasan kolam takungan terbabit.

"Terdapat juga satu daripada plot tanah yang dilapor sudah disempurnakan rizab dan statusnya sebagai rizab kolam takungan banjir, sebenarnya masih kekal mengikut ketetapan mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965," katanya.

Sekseyn 62 kanun berkenaan menyatakan sesuatu kawasan itu tertakluk kepada permohonan merizabkan tanah kerajaan untuk maksud awam seperti kawasan perkuburan, kawasan lapang, bagi tujuan sistem perkhidmatan pembentungan, tangki air atau kegunaan awam.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mendedahkan enam kolam takungan banjir di Kuala Lumpur diluluskan untuk tujuan pembangunan, sekali gus mendedahkan risiko bencana banjir di ibu kota.

Dalam kenyataannya, wakil rakyat DAP itu dipetik berkata, LKAN 2019 mendedahkan sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, Datuk Bandar meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun tidak selaras dengan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBRKL) 2020.

LKAN 2019 turut menyebut perubahan zon guna tanah dan pembangunan memberi kesan kepada alam sekitar dan pertambahan kepadatan menyebabkan berlaku pengurangan tanah lapang awam, kejadian banjir kilat di ibu kota dan kesesakan lalu lintas.

Laporan itu juga mendedahkan enam kolam takungan banjir telah diluluskan untuk tujuan pembangunan, namun turut dimasukkan mengenai hasrat JPS supaya ia dapat dirizabkan hanya untuk tujuan kolam takungan banjir dan tidak diberi milik kepada pihak ketiga.

Enam kolam yang terbabit ialah Kolam Batu, Kolam Nanyang, Kolam Delima, Kolam Taman Wahyu, Batu 4½dan Taman Desa. Difahamkan, sebelum ini ada 15 kolam takungan air untuk menampung air hujan bagi mengelak banjir, namun kini hanya tinggal sembilan.

Susulan itu, Sabtu minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah mengadakan lawatan mengejut ke tapak projek Kolam Takungan Banjir Sungai Jinjang, yang menjadi lokasi Kolam Wahyu dan Kolam Delima.

Selepas lawatan itu, Azam mengarahkan DBKL untuk melantik juruukur dan jurunilai bertauliah dengan segera bagi mengukur keluasan terbaru kolam terbabit, yang sebelum ini didakwa ditebus guna untuk projek pembangunan.

BH sebelum ini turut melaporkan, kawasan dua daripada enam kolam takungan banjir di ibu negara yang didakwa diubah status pemilikan, iaitu Kolam Wahyu dan Kolam Delima berhampiran Taman Wahyu, di sini, sedang dinaik taraf untuk pembangunan projek mega, namun dikatakan masih tidak terganggu.

Difahamkan juga, semua kawasan kolam berkenaan sudah diberikan pemilikan baharu sejak 2015, termasuk sebahagiannya pada tahun lalu.

Dalam reaksinya, Mahadi dilaporkan berkata, DBKL masih menimbang kelulusan pembangunan di beberapa kolam takungan banjir itu dan ia tidak akan dikeluarkan jika tidak mendapat kelulusan beberapa agensi kerajaan yang bertanggungjawab melakukan pelbagai pemeriksaan penting, antaranya JPS serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Isu berkenaan mendapat perhatian susulan banjir buruk yang melanda Lembah Klang baru-baru ini dan agensi teknikal serta kejuruteraan yang bertanggungjawab dalam isu banjir pernah mengesyorkan beberapa kolam di ibu kota diwartakan sebagai takungan banjir, sekali gus mengelakkannya daripada dijadikan kawasan komersial, namun syor itu ditolak.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bagaimanapun memberi jaminan kawasan kolam takungan air sedia ada di ibu negara akan terus dipertahankan serta dipelihara daripada sebarang projek komersial dan kepentingan mempertahankannya, khususnya bagi tujuan tebatan banjir akan dibawa kepada jawatankuasa khas untuk tindakan susulan.

ends

Berita Harian X