Sabtu, 15 Januari 2022 | 6:47pm

Kerja pembesaran dermaga pelabuhan Kemaman akan disegerakan

CHUKAI: Konsortium Pelabuhan Kemaman (KPK) akan melaksanakan kerja pembesaran dermaga di Pelabuhan Kemaman bagi menampung permintaan pengendalian kargo yang semakin meningkat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, dengan adanya dermaga itu ia mampu menampung kira-kira 33 juta metrik tan kapasiti kargo yang mampu dikendalikan.

Setakat ini, beliau berkata, pelabuhan itu mampu menampung kira-kira tujuh juta metrik tan kargo dan akan mencapai sasaran itu menjelang 2025 nanti.

"Setakat ini, syarikat Eastern Steel Sdn Bhd mengeksport sejuta tan barangan mereka setahun dan akan meningkat kepada tiga juta tan dengan adanya pelabuhan itu.

"Selaras dengan perkembangan industri di Koridor Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Pelabuhan Kemaman akan menerima pelabur baharu iaitu Syarikat JXR Manufacturing yang akan mengambil alih kilang PERWAJA.

"Syarikat ini yang menghasilkan steel billet dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2024 dengan pengendalian sebanyak 7 juta tan kargo," katanya ketika merasmikan Pelancaran Cadangan Pelan Pembangunan Pelabuhan Kemaman di Pelabuhan Kemaman, petang ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Amzad Hashim, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.

Ka Siong berkata, untuk memperbesarkan dermaga itu, KPK akan memperuntukan kos sebanyak RM 500 juta.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (tengah) diiringi Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim (dua kiri) melihat plan tapak Projek Pembesaran Pelabuhan Kemaman Dermaga Timur. - NSTP/Ghazali Kori

"Bagi fasa pertama tahun ini, KPK akan membina empat buah kren membabitkan perbelanjaan RM100 juta, manakala fasa selanjutnya akan digunakan untuk membina dermaga sepanjang 650 meter yang akan dimulakan pada tahun depan, "katanya.

Beliau berkata, dengan adanya dermaga itu nanti ia bukan sahaja menjadi pemangkin kepada negeri Terengganu malah mampu menyediakan banyak peluang pekerjaan dan menjana ekonomi setempat.

"Kementerian berharap pelan pembangunan jangka panjang pelabuhan yang akan membabitkan modenisasi dan pembesaran pelabuhan dan kemudahan-kemudahan baru termasuk peralatan pelabuhan mampu meningkatkan kapasiti bagi menampung keperluan pengguna pelabuhan semasa dan akan datang dapat direalisasikan dalam masa terdekat ini.

"Kementerian juga yakin pelabuhan Kemaman yang diterajui Lembaga Pelabuhan Kemaman dan KPK dapat dilaksanakan dan bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia dengan menjadi pemangkin ekonomi bagi Kemaman, sekali gus melengkapi kawasan lain sekitarnya yang sedang rancak membangun," katanya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (tengah) diiringi Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim (dua kanan) melihat plan tapak Projek Pembesaran Pelabuhan Kemaman Dermaga Timur selepas majlis pelancaran di Pelabuhan Kemaman, hari ini. - NSTP/Ghazali Kori

Berita Harian X