Sabtu, 15 Januari 2022 | 11:41am
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada pelajar berkelayakan, memastikan kebajikan lebih 3 juta pelajar dalam kalangan isi rumah berpendapatan kurang RM3,000, terus terbela dan terjaga. - Foto hiasan NSTP
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada pelajar berkelayakan, memastikan kebajikan lebih 3 juta pelajar dalam kalangan isi rumah berpendapatan kurang RM3,000, terus terbela dan terjaga. - Foto hiasan NSTP

Bantuan tambahan persekolahan pastikan pelajar terbela

KUALA LUMPUR: Tambahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) daripada RM100 kepada RM150 bagi pelajar berkelayakan, memastikan kebajikan lebih 3 juta pelajar dalam kalangan isi rumah berpendapatan kurang RM3,000, terus terbela dan terjaga.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor, berkata bantuan sekali beri (one-off) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada pelajar berkelayakan pada setiap awal tahun itu, akan turut mengurangkan beban ibu bapa.

Menyifatkan langkah ini sebagai manifestasi yang amat baik daripada KPM serta Kerajaan Malaysia, beliau berkata GPMS turut berterima kasih di atas keprihatinan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berhubung langkah penambahbaikan BAP.

"Bagi sesi persekolahan tahun ini, KPM sudah mengumumkan penambahan sebanyak RM50 daripada RM100 kepada RM150 bagi setiap pelajar yang berkelayakan dan diharap jumlah bantuan akan terus ditambahbaik pada masa yang akan datang.

"GPMS akan kekal menyokong usaha dilaksanakan KPM dalam memastikan kebajikan pelajar terus terjaga dan terbela pada setiap masa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

KPM dalam kenyataan medianya, berkata BAP yang akan membantu ibu bapa atau penjaga membuat persiapan awal anak sebelum memulakan persekolahan, akan diagihkan bermula Isnin ini kepada murid yang akan memasuki Tahun Dua hingga Tingkatan Lima.

Dalam pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat Oktober tahun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan, BAP membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM450 juta.

Mohd Alif Anas berkata, GPMS mengharapkan semua pihak akan terus kekal memberi sokongan kepada segala usaha KPM untuk memastikan sistem pendidikan di negara ini terus ditambah baik dan kekal relevan sepanjang masa.

Berita Harian X