Jumaat, 14 Januari 2022 | 10:04pm
Remaja yang dimandikan seperti jenazah kerana cuba mencuri tabung masjid (baju-T biru) disahkan positif dadah jenis syabu. - Foto fail BERNAMA
Remaja yang dimandikan seperti jenazah kerana cuba mencuri tabung masjid (baju-T biru) disahkan positif dadah jenis syabu. - Foto fail BERNAMA

Elak isu remaja 'jenazah' berulang

KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) meminta mereka yang terjebak dengan penagihan dadah untuk tampil mendapatkan bantuan rawatan dan pemulihan melalui pelbagai kemudahan disediakan agensi itu di seluruh negara.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon, berkata pihaknya menawarkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan bukan sahaja secara fizikal, malah ada program pemulihan dalam komuniti yang tidak memerlukan penagih berada dalam Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di bawah agensi itu.

"Semua kemudahan ini terbuka kepada warganegara yang terjebak dengan masalah penagihan dadah dan ingin mendapatkan rawatan sewajarnya," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes remaja yang dimandikan seperti jenazah kerana cuba mencuri tabung masjid dan mendapat pelbagai reaksi netizen, termasuk yang simpati terhadapnya.

Tuan Sutekno berkata, berkata hasil siasatan polis mendapati remaja itu bertindak mencuri untuk membeli dadah dan bermain judi dalam talian, malah hasil ujian saringan air kencing mendapati beliau positif dadah jenis syabu.

Beliau berkata, kes seperti remaja itu memerlukan kerjasama menyeluruh pelbagai agensi bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

Katanya, orang awam yang mahu membantu mana-mana individu yang mempunyai masalah sama, boleh hadir ke Pejabat AADK berhampiran atau hubungi Hotline AADK menerusi talian 03-89112233.

– BERNAMA

Berita Harian X