Jumaat, 14 Januari 2022 | 5:22pm
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat (duduk, tengah) bergambar bersama barisan Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman hari ini. Turut kelihatan, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azhar Mohamed (duduk, tiga, kiri); Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf (duduk, tiga, kanan) dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim (duduk, dua, kanan). - Foto BERNAMA
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat (duduk, tengah) bergambar bersama barisan Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman hari ini. Turut kelihatan, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azhar Mohamed (duduk, tiga, kiri); Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf (duduk, tiga, kanan) dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim (duduk, dua, kanan). - Foto BERNAMA

'Saya tidak pernah campur tangan' - Ketua Hakim Negara

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, menegaskan beliau sama sekali tidak mencampuri dan secara peribadi tidak pernah didekati pihak tertentu untuk campur tangan dalam kes mahkamah berprofil tinggi yang masih berlangsung.

Tengku Maimun berkata, beliau percaya bahawa hakim lain juga tidak pernah mengalami pengalaman serupa, dan mengulangi pendirian bahawa semua hakim membuat keputusan berdasarkan keterangan di mahkamah dan tidak boleh lari daripada prinsip teras itu.

"Tiada siapa menghubungi saya, dan tiada siapa hubungi untuk minta pertolongan begitu begini. Saya percaya hakim lain juga begitu.

"Apa yang saya faham daripada ucapan Presiden Majlis Peguam, ada orang menghubunginya. Mungkin ada yang hubungi Badan Kehakiman tetapi saya tidak boleh spekulasi mengenai hakim lain …kalau pun ada sesiapa telefon, apa yang saya katakan kepada mereka bahawa tidak ada apa yang saya boleh lakukan kerana perkara itu sudah ada di mahkamah dan akan diputuskan berdasarkan bukti.

"Memang kita ada dengar melalui televisyen bahawa bekas Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah didekati tetapi tiada antara kita yang didekati," katanya.

Tengku Maimun berkata demikian pada sidang akhbar selepas Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Terdahulu, Presiden Majlis Peguam, AG Kalidas Krishnan dalam ucapannya menyentuh mengenai perutusan khas Muhyiddin tahun lalu sebelum meletakkan jawatan yang mendakwa ada pihak memintanya supaya mencampuri urusan mahkamah tanpa menyebut sebarang nama secara khusus.

Terdahulu, AG Kalidas Krishnan dalam ucapannya, menegaskan bahawa Majlis Peguam sentiasa mempertahankan prinsip kebebasan dan integriti kehakiman dan berpendirian bahawa kehakiman tidak boleh dibiarkan dicemari dan kepentingannya hendaklah dilindungi daripada sebarang campur tangan.

"Mengenai soal kebebasan badan kehakiman, satu kenyataan dibuat oleh bekas Perdana Menteri dalam ucapan di televisyen pada 4 Ogos 20211 bahawa beliau menerima rayuan daripada individu untuk campur tangan dalam hal mahkamah.

"Adalah menjadi tanggungjawab setiap institusi untuk memastikan tiada siapa yang berada di atas undang-undang, tanpa mengira hubungan politik atau sosial mereka," katanya.

Sementara itu, Tengku Maimun berkata hukuman yang diputuskan oleh mahkamah rendah boleh disemak oleh Mahkamah Tinggi jika didapati ia berlebihan atau kurang sesuai mengikut undang-undang sedia ada.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada sidang media Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada sidang media Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman hari ini. - Foto BERNAMA

Tengku Maimun berkata, mahkamah tinggi boleh memanggil semula rekod kes berkenaan bagi tujuan semakan.

"Terpulang kepada hakim Mahkamah Tinggi jika mendapat tahu daripada laporan akhbar atau mana-mana sumber jika berpendapat bahawa keputusan itu agak berlebihan atau kurang sesuai daripada undang-undang sedia ada.

"Ia dibolehkan mengikut undang-undang untuk memanggil rekod kes berdasarkan kuasanya untuk menyemak keputusan mahkamah rendah," katanya.

Tengku Maimun berkata demikian ketika mengulas Mahkamah Majistret Selayang semalam yang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap seorang remaja lelaki berusia 19 tahun atas dakwaan cuba mencuri tabung masjid.

Video remaja itu sebelum ini tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' oleh pengurusan sebuah masjid akibat cuba mencuri tabung masjid.

Terdapat sebilangan mengecam perbuatan itu kerana mendakwa pihak masjid dan penduduk kampung mengambil tindakan sendiri dengan membelakangi undang-undang.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa cuba mencuri tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.

Berita Harian X