Jumaat, 14 Januari 2022 | 4:50pm
Mohd Na’im memfailkan writ saman terhadap Lokman kerana memfitnah dirinya, minggu depan. FOTO NSTP
Mohd Na’im memfailkan writ saman terhadap Lokman kerana memfitnah dirinya, minggu depan. FOTO NSTP

Mohd Na'im saman Lokman

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menghantar notis tuntutan saman kepada Datuk Lokman Noor Adam semalam kerana didakwa memfitnah dan mengaibkan Hakim Mahkamah Syariah menerusi media sosial.

Peguam kepada Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah itu, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, anak guamnya turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kelmarin, bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu berkaitan dakwaan seorang wanita menjadi mangsa gangguan seksual Hakim Mahkamah Syariah berkenaan.

"Wanita itu membuat laporan polis dan anak guam membuat laporan balas di IPD sama pada 12 Disember lalu, bagi menafikan perkara berkenaan.

"Baru-baru ini pula, Lokman memuat naik video mengeluarkan kenyataan fitnah berkaitan isu itu. Susulan itu, anak guam membuat laporan polis dan kita menghantar notis saman," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, media melaporkan polis dalam proses merakam percakapan lima lagi saksi berhubung kes seorang hakim kanan didakwa berbaring dalam keadaan berbogel di bilik tidur seorang wanita sudah bersuami.

Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan daripada tiga saksi bagi membantu siasatan kes itu.

Sebelum ini, polis mengesahkan sedang menyiasat seorang hakim kanan yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap wanita sudah berkahwin pada tahun 2020.

Ia dilaporkan berlaku ketika hakim itu melawat wanita berkenaan yang tinggal bersama suaminya yang terlantar sakit, sebelum meminta izin untuk solat.

Bagaimanapun, mangsa mendakwa hakim itu solat terlalu lama sebelum memeriksa biliknya dan mendapati dia baring atas katil dalam keadaan berbogel.

Lelaki itu dikatakan meninggalkan rumah berkenaan pada jam 3 pagi hari sama.

Akberdin berkata, pihaknya dalam proses memfailkan writ saman terhadap Lokman di mahkamah, minggu depan.

"Kita juga lihat kedegilan Lokman memuat naik satu lagi video memfitnah anak guam di Facebook semalam. Kita akan ambil tindakan terhadap kes ini satu demi satu mengikut proses perundangan," katanya.

Berita Harian X