Jumaat, 14 Januari 2022 | 2:50pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Amaran hujan lebat di Sarawak hingga esok

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) ramal hujan berterusan tahap waspada di kebanyakan kawasan di Sarawak yang berkuat kuasa sehingga esok.

Dalam pada itu, amaran hujan berterusan tahap waspada itu turut dikeluarkan di Sabah yang dijangka mulai Ahad hingga Selasa.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata hujan lebat berterusan itu disebabkan penumpuan angin yang di Sarawak sehingga esok.

"Amaran hujan berterusan tahap buruk sudah dikeluarkan pada jam 12.50 tengah hari semalam dan dikemas kini kepada tahap waspada sehingga esok.

"Ia membabitkan daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu dan Miri (Subis)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, angin kencang timur Sabah dijangka berlaku berlaku antara Ahad dan Selasa (16 hingga 18 Januari).

"Ia akan melanda kawasan pantai barat (Ranau), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat," katanya.

Katanya, angin bertiup dari arah timur laut dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah di kawasan terbabit.

Berita Harian X