Khamis, 13 Januari 2022 | 6:46pm
Foto dirakam pada 6 Januari 2022 menunjukkan rumah penduduk Kampung Seberang Batu Badak dan di Gemerih di Segamat digenangi banjir termenung. - Foto NSTP/Ahmad Ismail
Foto dirakam pada 6 Januari 2022 menunjukkan rumah penduduk Kampung Seberang Batu Badak dan di Gemerih di Segamat digenangi banjir termenung. - Foto NSTP/Ahmad Ismail

Banjir semakin pulih, mangsa di Johor, Melaka menurun

KUALA LUMPUR: Bilangan mangsa banjir yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor dan Melaka pada petang ini menurun kepada 649 orang berbanding 720 orang pagi tadi.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir semakin berkurang kepada 636 orang setakat 4 petang ini berbanding 705 individu pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan, berkata tiga daerah masih terjejas banjir membabitkan 17 PPS dengan Muar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 321 orang, diikuti Segamat (303) dan Tangkak (12).

"Bagaimanapun, stesen Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar yang merekodkan paras amaran kini menunjukkan trend penurunan. Selain itu, cuaca di seluruh negeri kini dilaporkan cerah termasuk di daerah terjejas banjir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Jalan Felda Bukit Aping di Kota Tinggi masih ditutup kepada semua kenderaan susulan kejadian tanah runtuh.

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata mangsa banjir di Melaka menurun kepada 13 orang daripada tiga keluarga pada pukul 4 petang ini dan kesemua mangsa ditempatkan di satu PPS di Jasin. – BERNAMA

Berita Harian X