Khamis, 13 Januari 2022 | 2:26pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Fahami implikasi ambil semula tanah pihak ketiga

KUALA LUMPUR: Sebarang cadangan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mengambil semula mana-mana kawasan kolam takungan air yang diluluskan kepada pihak ketiga perlu diperhalusi secara menyeluruh.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, berkata langkah mengambil semula tanah terbabit bukan satu perkara mudah kerana ia membabitkan pelbagai implikasi.

"Kita tidak boleh cakap sembarangan, kalau dah ada pembinaan dan undang-undang kata boleh ambil semula, maka ada kos sampingan lain, siapa nak bayar?

"Saya bercakap mengenai andaian, maka itu implikasi perlu dinilai sepenuhnya sebelum menerima nilai sebenar untuk pengambilan semula, pampasan dan sebagainya. Saya lihat ini sebagai satu bebanan, siapa nak bayar," katanya kepada BH, hari ini.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ainul Jaria Maidin, dilapor mencadangkan kerajaan boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mengambil semula mana-mana kawasan kolam takungan air yang diluluskan kepada pihak ketiga untuk pembangunan.

Katanya, kaedah lain boleh digunakan untuk 'menyelamatkan' semula tanah terbabit dengan membuat pembatalan atau pengubahsuaian kepada Kebenaran Membangun (DO) yang diberikan kepada pemaju.

Mengulas lanjut, Mahadi berkata, cadangan dikemukakan itu perlu dilihat secara realiti, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan tanpa melihat kepada kesan kepada tindakan serta cadangan terbabit.

Jelasnya, analisis secara benar perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan mengambil kira semua implikasi bakal dihadapi jika cadangan itu dilaksanakan.

"Saya yakin kerajaan sebagai satu institusi, semua perkara membabitkan implikasi sudah dilaksanakan sepenuhnya berdasarkan pengalaman saya dalam kerajaan," katanya.

Berita Harian X