Khamis, 13 Januari 2022 | 10:03am

Sarawak diramal hujan berterusan hingga Sabtu

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) mengeluarkan ramalan mengenai amaran hujan berterusan dan angin kencang di Sarawak sehingga Sabtu ini.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata ia membabitkan Amaran Hujan Berterusan (Buruk) dan (Waspada) di beberapa kawasan di Sarawak di 10 kawasan.

"Amaran Hujan Berterusan (Buruk) hari ini membabitkan 10 kawasan iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song) dan Bintulu (Tatau)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Helmi berkata, Amaran Hujan Berterusan (Waspada) dijangka berlaku sehingga Sabtu ini membabitkan tiga kawasan.

Katanya, kawasan itu termasuk Kapit (Kapit, Bukit Mabong dan Belaga); Bintulu (Bintulu dan Sebauh) serta Miri (Subis).

"Angin bertiup kencang dari arah timur laut dan dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah di kawasan terbabit," katanya.

Berita Harian X