Khamis, 13 Januari 2022 | 9:12am
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Banjir di Johor semakin pulih

JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di Johor menunjukkan tanda pulih apabila bilangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurang daripada 821 orang kepada 705 mangsa pagi ini.

Ketika ini, mangsa banjir daripada 206 keluarga terbabit masih ditempatkan di 17 PPS setakat jam 8 pagi ini, berbanding jam 8 malam tadi, seramai 821 mangsa daripada 242 keluarga ditempatkan di 19 PPS.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, hanya tiga daerah masih terjejas banjir ketika ini iaitu Segamat, Tangkak dan Batu Pahat.

Katanya, PPS Sekolah Kebangsaan Seri Sejati, Batu Pahat, yang sebelum ini menempatkan 81 mangsa daripada 18 keluarga, ditutup, jam 3 petang semalam.

Katanya, Segamat juga menunjukkan perkembangan positif apabila kini terdapat 336 mangsa daripada 91 keluarga ditempatkan di 10 PPS.

"Seramai 375 mangsa daripada 107 keluarga ditempatkan di 12 PPS di Segamat, malam tadi.

"Tangkak semakin pulih dengan 12 mangsa daripada tiga keluarga di sebuah PPS, pagi ini, berbanding seramai 26 mangsa daripada lapan keluarga di sebuah PPS, malam tadi.

"Muar juga berkurangan kepada 367 mangsa daripada 112 keluarga di enam PPS, pagi ini, berbanding 420 mangsa daripada 127 keluarga di enam PPS, malam tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, hanya satu jalan yang masih ditutup bagi semua jenis kenderaan meliputi Jalan Felda Bukit Aping (Jalan Kemuning 1), Kota Tinggi.

Berita Harian X