Rabu, 12 Januari 2022 | 6:33pm
Anggota bomba membantu mangsa banjir di Kampung Seduan, Sibu, untuk berpindah ke PPS. - Foto ihsan JBPM
Anggota bomba membantu mangsa banjir di Kampung Seduan, Sibu, untuk berpindah ke PPS. - Foto ihsan JBPM

Mangsa banjir di Sarawak mula berpindah ke PPS

SIBU: Seramai 18 penduduk membabitkan tiga keluarga di Kampung Seduan, di sini, menjadi kumpulan pertama mangsa banjir di Sarawak ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, semua mangsa berkenaan kini ditempatkan di PPS Dewan Kampung Jeriah.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.44 pagi tadi berikutan air mula memasuki rumah penduduk selepas hujan berterusan sejak semalam.

"Sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikejarkan ke lokasi sebaik saja menerima panggilan itu.

"Setiba di kampung berkenaan, didapati tiga rumah dinaiki air setinggi 0.5 meter, manakala jalan raya pula ditenggelami hampir satu meter," katanya.

Katanya, penduduk memaklumkan bahawa air memasuki rumah mereka dengan cepat selepas hujan sejak pagi semalam.

Berikutan keadaan banjir yang membimbangkan, JBPM menasihati penduduk supaya berpindah ke PPS berdekatan.

"Komander operasi berhubung dengan Pejabat Residen Bahagian Sibu memaklumkan keadaan rumah mangsa. Susulan itu, mangsa dipindahkan ke PPS pada petang ini," katanya.

Berita Harian X