Rabu, 12 Januari 2022 | 4:43pm
Gambar hiasan. - Foto fail BERNAMA
Gambar hiasan. - Foto fail BERNAMA

Hanya 1,044 mangsa banjir di Johor

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor terus menunjukkan trend penurunan apabila 1,044 orang daripada 295 keluarga yang masih ditempatkan di 23 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 4 petang tadi.

Berbanding jam 8 pagi tadi, seramai 1,227 mangsa daripada 351 keluarga ditempatkan di 26 PPS seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata keadaan banjir Segamat semakin pulih apabila hanya 411 mangsa daripada 115 keluarga ditempatkan di 13 PPS, berbanding seramai 417 mangsa daripada 116 keluarga ditempatkan di 12 PPS, pagi tadi.

"Daerah Tangkak juga mencatatkan penurunan ketara dengan 26 mangsa daripada lapan keluarga di sebuah PPS, petang tadi berbanding seramai 182 mangsa daripada 55 keluarga di lima PPS, pagi tadi.

"Muar juga berkurangan kepada 526 mangsa daripada 154 keluarga di lapan PPS, petang ini, berbanding 547 mangsa daripada 162 keluarga di lapan PPS, pagi tadi manakala Batu Pahat pula masih kekal iaitu sebanyak 81 mangsa daripada 18 keluarga di sebuah PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, tiga PPS di Tangkak ditutup operasinya iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Besar, SK Bukit Rahmat dan Sekolah Agama Bukit Rahmat.

Pada masa sama, katanya, hanya satu jalan yang masih ditutup bagi semua jenis kenderaan meliputi Jalan Felda Bukit Aping (Jalan Kemuning 1), Kota Tinggi.

Berita Harian X