Rabu, 12 Januari 2022 | 3:31pm
Azwan menerima sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha XJ6 Diversion, dihadiahkan oleh individu yang tidak mahu dikenali. - Foto FB
Azwan menerima sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha XJ6 Diversion, dihadiahkan oleh individu yang tidak mahu dikenali. - Foto FB

Abang Viva dapat motosikal berkuasa tinggi

MELAKA: Azwan Omar atau lebih dikenali sebagai Abang Viva, semalam menerima sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha XJ6 Diversion, dihadiahkan oleh individu yang tidak mahu dikenali.

Penyerahan motosikal kepada pemuda berusia 29 tahun dari Taman Seri Pengkalan, Alor Gajah itu dilakukan Pengarah ICITY Motorworld Sdn Bhd, Ernest Ng.

Ng berkata, pihaknya diberi amanah untuk menyampaikan hadiah berharga kira-kira RM30,000 kepada Azwan oleh seorang pelanggannya, baru-baru ini.

"Beliau tidak mahu namanya didedahkan. Wakil penyumbang itu datang ke kedai untuk mencuba motosikal dan membelinya secara tunai untuk dihadiahkan kepada Azwan.

"Kami menguruskan segala kelengkapan, termasuk cukai jalan dan insuran serta menambah beberapa lagi aksesori kenderaan itu seperti topi keledar, jaket serta beg sandang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azwan dengan kereta Perodua Viva dan sebuah bot, yang banyak membantu mangsa banjir. - Foto fail NSTP
Azwan dengan kereta Perodua Viva dan sebuah bot, yang banyak membantu mangsa banjir. - Foto fail NSTP

Sebelum ini, Azwan mengesahkan persetujuan untuk menerima hadiah sebuah kereta pacuan empat roda (4×4) daripada seorang ahli perniagaan.

Sementara itu, Azwan ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima hadiah istimewa itu, petang semalam.

Beliau berterima kasih kepada penyumbang kenderaan itu dan menganggap ia sebagai sesuatu yang sangat bernilai.

"Saya lakukan kerja secara sukarela tanpa mengharapkan apa-apa habuan atau balasan. Namun, mungkin sudah ditakdirkan Allah saya menerima rezeki ini, Alhamdulillah.

"Menerusi sumbangan ini, ia memberi semangat kepada saya untuk terus berbakti kepada insan yang ditimpa musibah. Saya sangat berterima kasih kepada pihak yang menyumbang dan mendoakan rezeki mereka dilipat gandakan oleh Allah," katanya.

Berita Harian X