Rabu, 12 Januari 2022 | 1:46pm

Tidak timbul isu akreditasi program pengajian UPM - MQA

KUALA LUMPUR: Isu akreditasi program pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak sepatutnya ditimbulkan semula kerana universiti itu mempunyai status swaakreditasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata, pihaknya tidak pasti apakah motif pihak yang menularkan semula artikel sebuah portal dalam talian mengenai status akreditasi program UPM, walhal UPM dan MQA sudah mengeluarkan kenyataan balas pada hujung Mei tahun lalu.

"Universiti dengan status swaakreditasi yang diluluskan boleh melakukan proses akreditasi sendiri.

"Ini adalah bagi memastikan jaminan kualiti program ditawarkan mengikut standard maksimum, MQA melakukan audit secara berkala di universiti yang dianugerahi status ini," katanya hari ini.

Beliau mengulas isu dakwaan seorang graduan mengatakan program ditawarkan UPM tidak mendapat pengiktirafan di luar negara yang ditularkan semula, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, status swaakreditasi melayakkan sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mengakredit program pengajiannya sendiri kecuali program profesional yang memerlukan akreditasi serta pengiktirafan badan profesional yang relevan.

Beliau berkata, peruntukan undang-undang bagi MQA melaksanakan perkara berkaitan swaakreditasi termaktub dalam Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta 679).

Katanya lagi, di Malaysia terdapat 20 universiti awam (UA) dan ratusan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta 19 institusi pengajian tinggi (IPT) sudah mendapat status swaakreditasi daripada MQA.

"Selain lima universiti penyelidikan tempatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia juga mempunyai status swaakreditasi.

"Dengan status swaakreditasi, IPT berkenaan boleh menawarkan program yang dirasakan bersesuaian dan mendapat permintaan tinggi selepas melalui proses akreditasi serta dipersetujui senat universiti," katanya.

Berita Harian X