Rabu, 12 Januari 2022 | 12:51pm
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan, Datuk Seri Syed Ibrahim  Syed Ahmad, (baju putih) diiringi Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang (Pengurusan Sekolah), Mohd Azmi Othman melawat Sekolah Kebangsaan Taram, hari ini. -Foto NSTP/Roselan AB Malek
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan, Datuk Seri Syed Ibrahim  Syed Ahmad, (baju putih) diiringi Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang (Pengurusan Sekolah), Mohd Azmi Othman melawat Sekolah Kebangsaan Taram, hari ini. -Foto NSTP/Roselan AB Malek

41 sekolah di Pahang belum boleh dibuka

TEMERLOH: Sesi persekolahan di 41 sekolah di negeri ini ditunda ke tarikh yang belum ditetapkan, berikutan masih terjejas akibat banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata bagaimanapun, pembelajaran murid serta pelajarnya tetap diteruskan menerusi sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

"Ketika ini lebih 90 peratus sekolah di Pahang sudah dibuka. Di Pahang ada 198 sekolah menengah dan 470 sekolah rendah.

"Cuma 41 terpaksa ditangguh pembukaan bagi sesi persekolahan membabitkan 33 sekolah rendah dan lapan sekolah menengah, ia termasuk satu sekolah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas lawatan ke Sekolah Kebangsaan Paya Taram di sini bagi meninjau kerja penyediaan peralatan sekolah berkenaan selepas dilanda banjir bulan lalu.

Beliau berkata, ketika ini 13 sekolah masih digenangi air yang membabitkan 10 sekolah rendah dan tiga sekolah menengah.

Katanya, 21 sekolah pula dijadikan pusat permindahan sementara (PPS) iaitu 18 daripada sekolah rendah dan tiga sekolah menengah.

"Tujuh sekolah sudah pulih daripada banjir tetapi belum dapat beroperasi kerana kerja pembersihan dan penyediaan peralatan masih berjalan.

"Satu lagi sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Jengka 25, juga terpaksa ditunda pembukaannya kerana pelaksanaan PKPD di kawasan itu," katanya.

Berita Harian X