Selasa, 11 Januari 2022 | 7:45pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pusat sehenti KPLB terima 300 permohonan bantuan banjir

PUTRAJAYA: Lebih 300 permohonan dan semakan kelayakan untuk pembaikan dan bina baharu rumah pasca banjir di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia diterima di Pusat Sehenti Tabika Kemas di Bukit Changgang, menurut Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Pusat sehenti itu dibuka tiga hari bermula hari ini bagi menyedia saluran bagi memudah cara mangsa banjir mendaftar kelayakan melalui borang yang disediakan sebelum diserahkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah untuk diperaku Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata, kementerian mengambil inisiatif itu untuk membantu melicin dan mempercepatkan proses pendaftaran dalam menyegerakan bantuan kepada mangsa banjir yang layak.

KPLB memperuntukkan RM50 juta di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia dengan kadar bantuan RM15,000 untuk kerja-kerja pembaikan rumah, RM56,000 untuk membina rumah baharu di Semenanjung dan RM68,000 di Sabah dan Sarawak, katanya dalam kenyataan hari ini.

KPLB juga telah memulakan kerja pembaikan Sabtu lalu membabitkan sembilan rumah mangsa banjir di Kuala Klawang, Chennah dan Jelebu di Negeri Sembilan manakala empat rumah lagi di Mentakab dan Temerloh di Pahang.

Setakat ini, KPLB telah menerima 1,879 unit rumah untuk dibaik pulih di kawasan banjir seluruh negara manakala 165 adalah untuk bina rumah baharu. – BERNAMA

Berita Harian X