Isnin, 10 Januari 2022 | 7:05pm
Kolam Takungan Banjir Batu 4 ½, Jalan Klang Lama belum ada sebarang projek pembangunan. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Kolam Takungan Banjir Batu 4 ½, Jalan Klang Lama belum ada sebarang projek pembangunan. - Foto NSTP/Aswadi Alias

2 kolam takungan banjir dalam proses pembangunan

KUALA LUMPUR: Dua daripada enam kolam takungan banjir di sekitar ibu negara yang didakwa diubah status pemilikan, kini dalam proses pembangunan.

Kolam terbabit, iaitu Kolam Wahyu dan Kolam Delima berhampiran Taman Wahyu, di sini, sedang dinaik taraf untuk pembangunan projek mega, namun kolam berkenaan dikatakan masih tidak terganggu.

BH difahamkan, empat lagi kolam, iaitu Kolam Nanyang, Kolam Batu dan Kolam Batu 4 1/2 difahamkan masih belum mempunyai sebarang pembangunan, manakala projek pembangunan di Kolam Taman Desa sudah dibatalkan.

Difahamkan juga, semua kawasan kolam berkenaan sudah diberikan pemilikan baharu sejak 2015, termasuk sebahagiannya pada tahun lalu.

Mengulas perkara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih lagi menimbang kelulusan pembangunan di beberapa kolam takungan banjir itu.

Katanya, kelulusan pembangunan tidak akan dikeluarkan jika ia tidak mendapat kelulusan daripada beberapa agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk melakukan pelbagai pemeriksaan penting.

"Setiap permohonan tanah akan melalui proses biasa sebelum 'title' itu diberikan kepada pemaju. Kita perlu merujuk kepada agensi tertentu, antaranya Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi aspek tertentu.

"Sebagai contoh JPS akan melaksanakan kajian mengenai keupayaan takungan kolam itu jika ia dibangunkan," katanya.

Mahadi bersama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, sebelum ini mengadakan lawatan mengejut ke tapak projek Kolam Takungan Banjir Sungai Jinjang, yang menjadi lokasi Kolam Wahyu dan Kolam Delima.

Azam juga mengarahkan DBKL untuk melantik juruukur dan jurunilai bertauliah dengan segera bagi mengukur keluasan terbaru kolam terbabit, yang sebelum ini didakwa ditebus guna untuk projek pembangunan.

Dalam perkembangan itu, BH difahamkan, sebahagian model perancangan yang dipamerkan pada pelan pemajuan projek di Kolam Wahyu dan Kolam Delima itu didakwa tiada dalam pelan yang diserahkan kepada DBKL.

Mengulas perkara itu, Azam berkata, sesuatu perlu dilakukan oleh pihak terbabit kerana perkara itu boleh mengelirukan pembeli hartanah di lokasi berkenaan.

Pada 1 Januari lalu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, membuat laporan polis meminta siasatan terhadap pihak bertanggungjawab yang didakwa memberi pemilikan beberapa bidang tanah di Kuala Lumpur untuk projek pembangunan, sedangkan ia sepatutnya dijadikan kolam takungan banjir.

Berita Harian X