Isnin, 10 Januari 2022 | 6:18pm
Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP

2,986 jumlah mangsa banjir di tiga negeri

KUALA LUMPUR: Seramai 2,986 mangsa banjir daripada 831 keluarga masih ditempatkan di 41 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri yang dilanda bencana itu iaitu Pahang, Johor dan Melaka.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 5 petang tadi, seramai 2,645 mangsa daripada 740 keluarga ditempatkan di 36 PPS di empat daerah yang terjejas di Johor.

Jumlah itu membabitkan 1,950 dewasa, warga emas (418), kanak-kanak (641), bayi (54) dan seramai 25 orang kurang upaya (OKU).

Di Melaka, seramai 261 mangsa yang membabitkan 72 keluarga masih mendapatkan perlindungan di tiga PPS manakala

Pahang, dua PPS masih beroperasi yang menempatkan 80 mangsa daripada 19 keluarga.

Sementara itu, Portal Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), menunjukkan paras air di Sungai Bernam, Selangor dan Sungai Pagoh, Johor sudah melepasi tahap bahaya.

Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam berada pada paras 4.01 meter (m) melebihi paras 2.3 m yang ditetapkan.

Paras air Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar pula merekodkan bacaan 2.64m melepasi tahap bahaya ditetapkan iaitu 2.35m.

Selain itu, Sungai Muar di Liang Batu, Sungai Muar di Panchor, Sungai Muar di Buloh Kasap dan Empangan Bekok di Batu Pahat mencatatkan bacaan melepasi tahap amaran.

Sementara itu, Sungai Kesang di Telok Rimba dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak merekodkan paras air pada tahap waspada.

Di Sarawak, paras air di Long Teru, Miri merekodkan bacaan tahap waspada iaitu pada paras 6.74m melebihi tahap ditetapkan.

Di Pahang pula, Sungai Kundang, Maran; Sungai Dong, Raub dan Sungai Triang, Bentong merekodkan paras air pada tahap waspada.

Turut merekodkan bacaan tahap waspada ialah Sungai Kesang di Melaka dan Sungai Padas di Sabah.

Berita Harian X