SHAH ALAM: Selepas tiga minggu banjir di Taman Sri Muda, di sini, keadaan semakin pulih dan rata-rata peniaga kembali membuka premis mereka.
Tinjauan di beberapa kawasan perumahan dan perniagaan yang dilanda banjir sebelum ini mendapati, ramai penduduk menjalankan kegiatan seharian seperti biasa.
Beberapa kedai belum beroperasi dan dalam proses pembersihan.
Peniaga kedai elektrik, Kelvin Lok, 50 berkata, dia mengambil masa kira-kira dua minggu untuk membersihkan premis yang dipenuhi lumpur.
"Sampai sekarang kedai masih belum beroperasi dan dalam proses pembersihan. Banyak barang di dalam kedai musnah.
"Air yang naik sehingga paras bumbung menyebabkan proses pembersihan mengambil masa panjang," katanya.
Sementara itu, peniaga pasar Taman Sri Muda, Mohamed Solihin Jaafar, 52 menarik nafas lega apabila perniagaan di kawasan itu sudah kembali normal.
"Alhamdulillah. Kami boleh berniaga seperti biasa selepas tiga minggu mimpi ngeri berlaku.
"Proses cucian di rumah pula hampir selesai walaupun terdapat barang seperti perabot dan peralatan elektrik rosak teruk dan terpaksa dibuang," katanya.