Isnin, 10 Januari 2022 | 12:58pm
Dzulkefly Ahmad (kiri) dan Mohd Helmi Buang.
Dzulkefly Ahmad (kiri) dan Mohd Helmi Buang.

Desas-desus pembubaran DUN Johor makin hangat

Johor Bahru: Desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat, semakin hangat diperkatakan, kebelakangan ini.

Khabar mengenai pembubaran DUN dan PRN Johor itu bertambah kuat sejak seminggu dua ini apabila parti politik, termasuk Pakatan Harapan (PH) Johor mengakui ada membincangkan perkara itu dalam mesyuarat mereka, baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Dzulkefly Ahmad, berkata desas-desus PRN Johor bakal diadakan bertambah kuat selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian, yang juga mantan Menteri Besar, meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

"AMANAH dan PH Johor mendapat khabar DUN Johor mungkin akan dibubarkan seawal 15 Januari ini. Ada juga perkhabaran yang mengatakan pembubaran akan berlaku pada Februari ini selepas banjir di negeri ini pulih.

"Kita faham keadaan politik semasa di Johor amat genting apabila pembahagian kerusi DUN sangat tipis dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memiliki 28 kerusi, manakala PH pula 27, selepas kematian ADUN Kempas.

"Keadaan itu sememangnya tidak stabil. Jika ada satu ADUN melompat, kerajaan negeri akan tumbang pada bila-bila masa.

"Bagaimanapun, PH Johor berpandangan PRN tidak sesuai diadakan sekarang berikutan keadaan COVID-19 dan ekonomi rakyat yang masih belum pulih sepenuhnya, ditambah dengan bencana banjir," katanya kepada BH.

Terdapat 56 kerusi di DUN Johor, dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14 kerusi, BERSATU (11), MIC (dua),  PAS (satu), sementara AMANAH (enam) dan PKR (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian ADUN Kempas.

Sementara itu, Dzulkefly yang juga ADUN Kota Iskandar berkata, fokus PH Johor ketika ini adalah untuk membentuk kestabilan politik di Johor, pemulihan ekonomi, termasuk memulihkan keyakinan pelabur luar selain membantu rakyat yang terjejas.

Namun, katanya, PH Johor bersedia berhadapan PRN jika ia dilaksanakan dalam masa terdekat, mengambil kira percaturan politik kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor diterajui Barisan Nasional (BN) yang yakin mendapat kepercayaan rakyat susulan kejayaan di PRN Melaka dan Sarawak.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Pontian, Mohd Helmi Buang, berkata walaupun tiada arahan rasmi mengenai perkara itu, beberapa pimpinan tertinggi UMNO negeri sudah memberikan 'petunjuk' yang pembubaran DUN serta PRN Johor semakin hampir.

"Jika benar PRN dilakukan dalam masa terdekat, UMNO perlu memenuhi kehendak pengundi, satu daripadanya calon mestilah muka baharu dan generasi muda mesti diketengahkan, selain menyelesaikan pelbagai isu masyarakat yang memerlukan perhatian.

"Jangan lagi kemukakan calon lama terutamanya mereka yang tewas dalam pilihan raya umum (PRU) lalu atau yang sudah tiga atau empat penggal menjadi wakil rakyat," katanya.

Berita Harian X