Ahad, 9 Januari 2022 | 1:49pm
Pelajar Tingkatan Lima, Rebecca Tan Tze Sheen, Savithra Arrual, Nur Afrina Azman pada hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent , Jalan Yahya Awal, Johor Bahru, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pelajar Tingkatan Lima, Rebecca Tan Tze Sheen, Savithra Arrual, Nur Afrina Azman pada hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent , Jalan Yahya Awal, Johor Bahru, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Lebih 300 sekolah terjejas banjir

SEGAMAT: Lebih 300 sekolah di seluruh negara dikenal pasti terjejas akibat banjir, dengan sebahagiannya sudah dibuka bagi sesi persekolahan penggal ketiga bermula hari ini untuk kumpulan A.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin, berkata ada sekolah yang belum dapat dibuka hari ini, antaranya di Sabah, Pahang dan Selangor, disebabkan masih digenangi air, dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) atau dalam proses pembersihan.

Beliau berkata, sekolah yang tidak dibuka mengikut jadual asal dijangka memulakan sesi persekolahan pada minggu hadapan.

"Ada sebahagian sekolah yang bermula hari ini di negeri kumpulan A dan ada beberapa yang belum dapat dibuka, termasuk di Sabah, Pahang dan Selangor.

"Maklumat mengenai status sekolah ini akan dikemas kini oleh pejabat pendidikan daerah dari semasa ke semasa bagi menentukan pembukaan sekolah," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Paya yang terjejas akibat banjir, di sini, hari ini.

Justeru, beliau berharap semua pihak dapat membantu kerja pembersihan sekolah supaya sesi persekolahan dapat dijalankan mengikut perancangan.

Sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 bermula hari ini bagi sekolah di negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala bagi negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, ia dijadual bermula esok.

Mohamad berkata, sebanyak 46 sekolah di Johor dijadikan PPS iaitu 15 buah di Segamat, Tangkak (13), Muar (tujuh), Mersing (empat), masing-masing tiga di Kota Tinggi dan Batu Pahat, serta Kluang (satu) susulan kejadian banjir yang melanda sejak 1 Januari lalu.

Setakat pagi ini, 27 sekolah di Johor masih tidak beroperasi kerana dijadikan PPS dan masih digenangi air, manakala 19 sekolah memulakan sesi persekolahan penggal ketiga hari ini.

Beliau turut menjelaskan, kementerian tidak akan membebankan pelajar yang tidak dapat ke sekolah dan memberi mereka ruang untuk berhadapan dengan proses pascabanjir sebelum kembali ke sekolah.

Katanya, lebih 14,000 pelajar yang terjejas akibat banjir dibenarkan untuk memakai pakaian biasa ke sekolah dan Kementerian Pendidikan turut memberi jaminan bekalan buku teks mencukupi bagi menggantikan lebih 260,000 buku teks yang rosak akibat banjir. – BERNAMA

Berita Harian X