Ahad, 9 Januari 2022 | 8:56am
(Gambar hiasan) Antara harta benda yang rosak akibat banjir di Kampung Spang Loi di Segamat. - FOTO BERNAMA
(Gambar hiasan) Antara harta benda yang rosak akibat banjir di Kampung Spang Loi di Segamat. - FOTO BERNAMA

Jumlah mangsa banjir di Johor menurun sedikit

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor menurun sedikit kepada 3,714 orang membabitkan 1,063 keluarga yang berlindung di 47 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi tadi.

Ia berbanding seramai 3,720 mangsa (1,060 keluarga) ditempatkan di 49 PPS seluruh negeri ini, hingga jam 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata banjir di Segamat kian pulih dengan 1,674 mangsa (455 keluarga) masih berada di 26 PPS, menurun berbanding 1,715 (468 keluarga) di 28 PPS pada malam tadi.

"Bagaimanapun, tiga daerah menunjukkan sedikit peningkatan, termasuk Tangkak dengan 712 mangsa banjir (217 keluarga) di sembilan PPS pada pagi ini, berbanding 705 (208 keluarga), malam tadi.

"Muar pula kini mempunyai 1,190 mangsa banjir (356 keluarga) di 10 PPS, berbanding 1,178 (351 keluarga) pada malam tadi.

"Mangsa banjir di Batu Pahat juga bertambah kepada 133 orang (35 keluarga) di dua PPS, berbanding 122 (33 keluarga) pada malam tadi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor menunjukkan empat sungai di kawasan terjejas banjir masih berada pada aras bahaya.

"Sungai itu meliputi di Kampung Olak Sepam, Muar pada aras 3.35 meter, selain Panchor, Muar (2.44m), Bukit Kepong, Muar (4.9m) dan Buloh Kasap, Segamat (9.50m)," katanya.

Berita Harian X