Sabtu, 8 Januari 2022 | 10:50pm
Pekerja Alam Flora melakukan kerja-kerja pembersihan longkang ketika Program Mega Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sri Muda Seksyen 25 hari ini. - foto BERNAMA
Pekerja Alam Flora melakukan kerja-kerja pembersihan longkang ketika Program Mega Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sri Muda Seksyen 25 hari ini. - foto BERNAMA

NADMA minta JPBN, JPBD Sarawak diaktif serta-merta

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengarahkan agar Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri (JBPN/Daerah (JBPD) di Sarawak diaktifkan berikutan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tengah hari tadi.

NADMA dalam kenyataan hari ini meminta agar JPBN dan JPBD meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang mungkin berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.

Selain itu, JPBN dan JPBD perlu memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas serta Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian mencukupi serta berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan.

Terdahulu, MetMalaysia memaklumkan hujan berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sarawak iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu bermula 11 hingga 13 Januari.

Berikutan itu, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) segera mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana.

Dalam pada itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) memaklumkan terdapat pertambahan satu kejadian tanah runtuh di Sarawak menjadikan keseluruhan kejadian tanah runtuh sepanjang tempoh Monsun Timur Laut 2021/2022 di seluruh negara adalah 267.

Jabatan Kerja Raya (JKR) turut melaporkan sehingga hari ini, sebanyak 54 lokasi kejadian cerun runtuh dan tanah runtuh di seluruh negara.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan kerja-kerja pembersihan longkang ketika Program Mega Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sri Muda Seksyen 25 hari ini. - foto BERNAMA
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan kerja-kerja pembersihan longkang ketika Program Mega Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sri Muda Seksyen 25 hari ini. - foto BERNAMA

Sementara itu, NADMA memaklumkan hingga hari ini, operasi pembersihan pascabanjir di Selangor telah mencapai 100 peratus selesai dengan jumlah sisa dibersihkan sebanyak 607.51 tan.

"Secara keseluruhan, sebanyak 83.5 peratus kerja pembersihan telah selesai bagi fasa satu dan 85 peratus bagi fasa dua melibatkan dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka. Jumlah sisa dibersihkan bagi kedua-dua fasa itu adalah sebanyak 2,926.13 tan," menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, NADMA memaklumkan sebanyak 50,224 atau 80.3 peratus Ketua Isi Rumah (KIR) telah menerima bayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) manakala 12,300 KIR masih belum menerima agihan bantuan.

– BERNAMA

Berita Harian X