Sabtu, 8 Januari 2022 | 3:17pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

31 sekolah belum boleh dibuka esok

JOHOR BAHRU: Sebanyak 31 sekolah di negeri ini tidak dapat dibuka bagi sesi persekolahan penggal ketiga yang bermula esok, kerana masih terjejas akibat banjir dan dinaiki air bah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, berkata daripada jumlah itu sebanyak 23 sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sementara lapan sekolah lagi masih dilanda banjir

Katanya, PPS yang dibuka itu membabitkan masing-masing lapan sekolah di Segamat dan Tangkak, lima sekolah di Muar dan dua sekolah di Batu Pahat.

"Sebelum ini, sebanyak 46 sekolah di Johor dijadikan PPS bagi menempatkan mangsa banjir yang terjejas akibat banjir. Namun keadaan banjir semakin pulih, separuh daripadanya sudah ditutup.

"Bagi sekolah masih dijadikan PPS, ia tidak akan dibuka esok dan kekal menjadi PPS sehingga masalah banjir selesai," katanya pada sidang media selelas majlis penutup Festival Permainan Tradisional Negeri Johor, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Sebanyak 1,184 buah sekolah di negeri ini dijadualkan menjalani Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022, esok mengikut jadual yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, Mazlan berkata, sekolah yang dilanda banjir pula membabitkan empat sekolah di Tangkak, tiga di Segamat dan sebuah sekolah di Muar tidak akan memulakan sesi persekolahan esok.

Katanya, sesi persekolahan bagi lapan sekolah yang terjejas itu hanya akan bermula sebaik keadaan banjir pulih.

"Selepas keadaan banjir pulih dan kerja pembersihan selesai, barulah sekolah terjejas ini akan menyambung sesi persekolahan penggal ketiga

"Bagi sekolah tidak terbabit banjir, sesi persekolahan berjalan seperti seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pendidikan.

"Seramai 684 pelajar di negeri ini dipindahkan ke PPS dan sehingga kini 369 daripadanya masih berada di PPS yang masih dibuka," katanya.

Berita Harian X