Sabtu, 8 Januari 2022 | 2:23pm
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki (topi putih), Mahadi Che Ngah (topi hitam) dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Datuk Md Nasir Md Noh (topi biru) meninjau kolam takungan banjir Sungai Jinjang.- Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

DBKL akan kemukakan SPRM ukuran kolam takungan banjir

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengemukakan perbezaan ukuran baharu dan lama di kawasan Kolam Takungan Banjir Sungai Jinjang selepas lokasi itu didakwa mengalami pembangunan pesat termasuk dakwaan berlakunya aktiviti menimbus tanah.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, berkata penilaian itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi.

"Ketua Pesuruhjaya SPRM meminta kami menunjukkan bukti perbezaan dan kita memberi perhatian kepada itu termasuklah melantik segera jurukur bertauliah.

"Kita akan melaksanakan perbandingan (ukuran baharu dan lama) selepas keputusan penilaian baharu itu diperolehi," katanya di sini, hari ini.

Isu kolam takungan banjir di ibu negara timbul selepas Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh sebelum ini menggesa SPRM memgambil tindakan 24 jam berhubung enam kolam takungan banjir yang didakwa diluluskan untuk pembangunan di Kuala Lumpur.

Beliau dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 mendedahkan sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, Datuk Bandar meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun tidak selaras dengan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBKL) 2020.

Berita Harian X