Sabtu, 8 Januari 2022 | 12:54pm
Kolam takungan banjir Sungai Jinjang. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Kolam takungan banjir Sungai Jinjang. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

DBKL diarah ukur semula kolam takungan banjir

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melantik juruukur dan jurunilai bertauliah bagi tujuan mengukur semula keluasan sebenar Kolam Takungan Banjir Sungai Jinjang yang diambil untuk tujuan pembangunan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya mengarahkan satu tindakan teknikal dilaksanakan oleh DBKL untuk mengetahui sama ada sebahagian kolam berkenaan ditimbus atau menjadi sebahagian daripada pembangunan yang dilaksanakan pemaju.

Bagaimanapun, beliau berkata siasatan awal turut mendapati kolam berkenaan tidak ditimbus atau ditambak seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

"Ada pertikaian bahawa kolam ini tidak mampu menampung lebihan air apabila arahan pembangunan dikeluarkan pada 2015. Malah ada dakwaan mengenai kolam ini ditutup (ditimbus).

"Mengikut Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), kolam ini tidak boleh ditutup kerana ia adalah kolam tadahan air.

"Kita minta DBKL untuk melantik surveyer (juruukur) segera untuk mengukur tasik serta pembangunan yang dibuat ," katanya kepada pemberita, selepas SPRM membuat lawatan di projek pembangunan di Taman Wahyu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

Azam (topi putih), Mahadi (topi hitam) dan Md Nasir (topi biru) meninjau kolam takungan banjir Sungai Jinjang. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Azam (topi putih), Mahadi (topi hitam) dan Md Nasir (topi biru) meninjau kolam takungan banjir Sungai Jinjang. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

BH difahamkan, Kolam Takungan Banjir Sungai Jinjang mempunyai tiga kolam banjir iaitu Kolam Delima, Kolam Nanyang serta Kolam Wahyu namun, jumlah isi padu air di situ ketika ini melebih 2.0 juta meter padu dengan 36 meter paras air normal serta 43 meter paras bahaya.

Mengenai tindakan penguatkuasaan, Azam berkata, pihak SPRM ketika ini ingin mengetahui sama ada kolam itu menjadi sebahagian dari pembangunan seluas lebih 80 hektar, sebelum sebarang tindakan dilaksanakan.

"Kita akan minta ukuran yang baharu dan pembangunan yang dilaksanakan. Biasanya pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) sudah melaksanakan pengukuran sebelum pembangunan itu dilakukan.

"Namun kita akan melihat perkara itu, sekiranya ada perkara tentu yang tiada, kita akan query dan tindakan seterusnya dilakukan termasuklah berlakunya pencerobohan tanah," katanya.

Ditanya mengenai impak banjir yang berlaku sekiranya pembangunan dilaksanakan di situ, beliau menjelaskan, SPRM tidak boleh membuat andaian tertentu sebelum siasatan sepenuhnya dilaksana.

"Setakat ini, mengenai kolam itu ditutup (tebus guna) ia tidak berlaku dan sekiranya berlaku kesan akibat banjir, ia adalah andaian namun siasatan akan dilakukan untuk mengetahui sekiranya ada peraturan yang dipatuhi ada tidak.

"Jika tidak patuh, kita akan bincang tindakan seterusnya," katanya.

Berita Harian X