Sabtu, 8 Januari 2022 | 10:52am
Paras air lima sungai di Muar, Segamat dan Mersing di Johor dikesan melebihi tahap bahaya setakat jam 10 pagi tadi. - FOTO HIASAN
Paras air lima sungai di Muar, Segamat dan Mersing di Johor dikesan melebihi tahap bahaya setakat jam 10 pagi tadi. - FOTO HIASAN

Lima sungai di Johor melebihi paras bahaya

KUALA LUMPUR: Paras air lima sungai di Muar, Segamat dan Mersing di Johor dikesan melebihi tahap bahaya setakat jam 10 pagi tadi.

Sungai terbabit adalah Sungai Muar di Liang Batu dan di Panchor dan Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar; Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat dan Sungai Endau di Kampung Labong, Mersing.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut mengeluarkan notifikasi membabitkan Empangan Bekok di Batu Pahat dan Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkang di Johor kerana paras air melebihi tahap amaran.

Amaran terkini itu dikeluarkan menerusi notifikasi aras air dan hujan yang dipaparkan di laman web www.publicinfobanjir.water.gov.my.

JPS juga mengesan tiga sungai di Johor yang melebih paras waspada, iaitu di Sungai Lenik, Ladang Chaah dan Sungai Muar, Kampung Awat di Segamat, selain Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak.

Di Pahang, JPS mengeluarkan amaran waspada untuk Sungai Kundang di Jam Sungai Kundang, Maran dan Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong.

Di Melaka, dua sungai melebihi paras amaran membabitkan Sungai Kesang di Telok Rimba, Jasin dan Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah.

Di Sarawak, satu sungai melebihi tahap waspada iaitu Sungai Long Meru di Miri, manakala di Selangor membabitkan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam dan di Sabah membabitkan Sungai Padas di Beaufort JPS, Beaufort dan Sungai Padas di Tenom.

Berita Harian X