Sabtu, 8 Januari 2022 | 9:56am
Mangsa banjir, Zul Md Nor, mencuci pinggan mangkuk yang disaluti lumpur akibat bencana banjir ketika tinjauan di Kampung Belimbing Dalam. - Foto Bernama
Mangsa banjir, Zul Md Nor, mencuci pinggan mangkuk yang disaluti lumpur akibat bencana banjir ketika tinjauan di Kampung Belimbing Dalam. - Foto Bernama

Hanya lima kawasan di Melaka terjejas banjir

MELAKA: Hanya lima kawasan yang masih terjejas banjir di Melaka dengan membabitkan 389 mangsa, masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri terbabit.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra, berkata kawasan yang masih terjejas membabitkan Kampung Belimbing Dalam di daerah Alor Gajah dan Kampung Parit Penghulu Benteng, Kampung Lanchang, Kampung Tersusun Rambai Jaya dan Kampung Parit Putat Benteng di daerah Jasin.

Katanya, keseluruhan membabitkan seramai 105 keluarga dengan masing-masing satu di PPS daerah Alor Gajah dan tiga di daerah Jasin.

Sementara itu, semua PPS di Daerah Melaka Tengah sudah ditutup sepenuhnya.

Katanya, PPS di Alor Gajah yang masih di buka membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam dengan empat mangsa sementara di Jasin SK Parit Penghulu (55 mangsa), SK Seri Mendapat (61) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai seramai 269 mangsa.

Berita Harian X