Sabtu, 8 Januari 2022 | 9:27am
Keadaan banjir di Johor semakin baik di kebanyakan daerah. - Foto Bernama
Keadaan banjir di Johor semakin baik di kebanyakan daerah. - Foto Bernama

Mangsa banjir di Johor kian menurun

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor kian menurun kepada 3,872 orang daripada 1,090 keluarga di 56 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi.

Berbanding jam 8 malam tadi, seramai 4,233 mangsa daripada 1,191 keluarga ditempatkan di 56 PPS seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata Segamat dijangka semakin pulih apabila 1,884 orang daripada 514 keluarga kini ditempatkan di 33 PPS, pagi ini, berbanding 2,231 mangsa daripada 622 keluarga di 33 PPS, malam tadi.

Katanya, Tangkak juga menurun kepada 726 mangsa daripada 209 keluarga di 11 PPS, pagi ini, berbanding 814 mangsa daripada 230 keluarga di 12 PPS, malam tadi.

"Bagaimanapun, Muar masih menunjukkan peningkatan iaitu seramai 1,188 mangsa daripada 346 keluarga di 10 PPS, pagi ini, berbanding hanya 1,114 mangsa daripada 318 keluarga di sembilan PPS, malam tadi.

"Walaupun Batu Pahat masih mengekalkan jumlah sama pada pagi ini berbanding malam tadi, ia menunjukkan peningkatan iaitu 74 mangsa daripada 21 keluarga di dua PPS, berbanding 54 mangsa daripada 18 keluarga di sebuah PPS, jam 4 petang semalam.

"Pada masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan amaran ribut petir atau hujan lebat dijangka berlaku di Mersing, pagi ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mengikut data Jabatan Pengairan dan Saliran Johor, lima sungai di kawasan terjejas banjir masih berada di aras bahaya.

"Sungai itu meliputi di Kampung Olak Sepam, di Muar pada aras 3.51 meter, selain Panchor, Muar (2.53 meter) dan Liang Batu, Muar (2.81 meter).

"Turut pada aras bahaya adalah sungai di Buloh Kasap, Segamat (9.93 meter) dan Kampung Labong, Mersing (3.82 meter)," katanya.

Berita Harian X