Jumaat, 7 Januari 2022 | 11:19am

Banjir semakin pulih, mangsa ramai di Johor

KUALA LUMPUR: Situasi banjir yang bertambah baik di beberapa negeri menyaksikan jumlah mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri, terus berkurangan.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan seramai 5,554 mangsa banjir masih ditempatkan di 84 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri setakat pagi tadi, berbanding lebih 5,800 petang semalam.

Daripada jumlah itu, lebih 80 peratus atau 4,573 mangsa banjir daripada 1,273 keluarga ditempatkan di 62 PPS di Segamat, Tangkak, Muar dan Batu Pahat, Johor.

Sejumlah dua PPS baharu dibuka semalam di Johor, iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cin (SJKC) Kun Yu dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Pei Eng di Tangkak.

https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index
https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index

Di Melaka, empat PPS masih beroperasi setakat pagi ini bagi menempatkan 406 mangsa banjir daripada 108 keluarga, membabitkan tiga PPS di Jasin dan satu di Alor Gajah.

Di Pahang, seramai 393 mangsa banjir daripada 121 keluarga direkodkan berada di 11 PPS sekitar Pekan, Bera dan Rompin setakat jam 8 pagi tadi.

Ia adalah penurunan ketara berbanding 954 mangsa banjir di 29 PPS semalam, dengan lebih 500 mangsa sudah kembali ke kediaman masing-masing, dan 18 PPS ditutup di negeri itu.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 113 mangsa daripada 31 keluarga di empat PPS sekitar Beluran dan Telupid, berbanding 281 mangsa daripada 62 keluarga, semalam.

Di Negeri Sembilan, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS pagi ini mencatat penurun hampir 70 peratus berbanding semalam.

Setakat jam 7.41 pagi tadi, portal Info Bencana JKM merekodkan sejumlah 69 mangsa masih ditempatkan di tiga PPS di Jelebu, Tampin dan Jempol, berbanding 221 mangsa banjir petang semalam.

Jeti Kampung Pogoh 3 ditenggelami banjir ketika tinjauan - Foto Bernama.
Jeti Kampung Pogoh 3 ditenggelami banjir ketika tinjauan - Foto Bernama.
Berita Harian X