Jumaat, 7 Januari 2022 | 10:55am

KPM ganti 263,662 buku teks rosak akibat banjir

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menggantikan sejumlah 263,662 buku teks rosak akibat banjir, baru-baru ini, yang membabitkan 14,422 murid di seluruh negara.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya mempunyai stok mencukupi untuk menggantikan buku teks yang rosak itu.

Beliau berkata, ia sekali gus akan membolehkan murid berkenaan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dijadualkan bermula minggu depan.

"Kita sedar bahawa dalam tempoh banjir besar yang dihadapi, ramai murid terjejas. KPM menerima banyak pertanyaan mengenai buku teks murid yang rosak akibat banjir.

"Jadi kepada murid yang kehilangan buku teks atau buku mereka rosak akibat banjir, jangan risau.

"Mereka juga tidak perlu membayar ganti rugi atas kerosakan buku teks berkenaan mahupun menggantikan buku itu," katanya melalui rakaman video dalam laman sosial Facebook milik beliau , hari ini.

Radzi berkata, guru akan merekodkan jumlah buku teks yang rosak akibat banjir dan memastikan usaha menggantikannya dapat dilaksanakan segera.

Katanya, ia bagi membolehkan sesi persekolahan yang bermula minggu depan, berjalan dengan teratur dan lancar.

"Semoga anak-anak yang terjejas dengan banjir dapat mengharungi tempoh sukar ini dan kembali ke sekolah apabila sekolah dibuka semula kelak," katanya.

(Gambar fail) Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. - FOTO BERNAMA
Wan Hazri Wan Hassan, 14 bersama adiknya Sit Fatihah Wan Hassan, 12 dan Wan Fartisa Wan Hassan, 9 memeriksa peralatan sekolah iaitu buku serta pakaian yang rosak akibat ditenggelami banjir baru-baru ini di Kampung Tersang, di Rantau Panjang. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Berita Harian X