Khamis, 6 Januari 2022 | 9:31pm
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

KPT agih 2,000 kotak bantuan di Segamat, Tangkak

JOHOR BAHRU: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengagihkan sebanyak 2,000 kotak bantuan barangan keperluan asas bagi meringankan bebanan mangsa banjir di Segamat dan Tangkak.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata kotak bantuan itu adalah sumbangan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Misi bantuan hari ini adalah kesinambungan daripada usaha KPT untuk membantu mereka yang terjejas sejak bencana banjir melanda negara pertengahan Disember lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebagai respons strategik, misi berkenaan digerakkan bermula 19 Disember lalu seiring pengaktifan Bilik Gerakan Banjir KPT yang menyelaras penyaluran bantuan kepada warga institusi pendidikan tinggi (IPT) dan masyarakat umum.

Katanya, setakat kini, seramai 23,745 sukarelawan digerakkan meliputi 4,610 orang daripada KPT dan agensi serta 19,135 orang dari universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.– BERNAMA

Berita Harian X