Khamis, 6 Januari 2022 | 7:45pm
Mangsa banjir, Zul Md Nor, 57, mencuci pinggan mangkuk yang disaluti lumpur akibat banjir ketika tinjauan di Kampung Belimbing Dalam, Alor Gajah, Melaka hari ini. - Foto BERNAMA
Mangsa banjir, Zul Md Nor, 57, mencuci pinggan mangkuk yang disaluti lumpur akibat banjir ketika tinjauan di Kampung Belimbing Dalam, Alor Gajah, Melaka hari ini. - Foto BERNAMA

Jumlah mangsa banjir di 5 negeri terus berkurang petang ini

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri iaitu Sabah, Pahang, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan terus mencatat pengurangan petang ini.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan ketara kepada 281 orang daripada 62 keluarga petang ini berbanding 3,417 orang daripada 1,224 keluarga tengah hari tadi.

Sejumlah 14 PPS di Kota Marudu ditutup dengan kesemua 3,136 orang daripada 1,161 keluarga dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas banjir pulih.

Penutupan PPS di Kota Marudu itu menjadikan 21 PPS ditutup di Sabah setakat petang ini termasuk beberapa PPS di Pitas, Telupid dan Beluran.

Setakat petang tadi, seramai 183 orang daripada 46 keluarga masih berada di enam PPS di Telupid, diikuti Paitan (54 orang daripada 10 keluarga di dua PPS) dan Sandakan (45 orang daripada tujuh keluarga di satu PPS).

Di JOHOR, mangsa banjir menurun kepada 3,985 orang setakat 4 petang berbanding 4,098 orang tengah hari tadi dengan 61 PPS masih beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata lima daerah masih terjejas banjir dengan Segamat kekal mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,460 orang, Tangkak (739), Muar (714), Batu Pahat (53) dan Mersing (19).

Beliau berkata enam stesen sungai mencatat paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat; Sungai Muar di Kampung Olak Sepam dan Sungai Muar di Panchor, Muar; Sungai Gemas di Muara Sungai Gemas, Segamat; Liang Batu di Muar dan Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar.

Katanya setakat ini, keadaan cuaca di seluruh Johor dilaporkan cerah.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 418 orang daripada 111 keluarga setakat 4 petang berbanding 451 orang daripada 123 keluarga pada 12 tengah hari tadi melibatkan daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir terus berkurangan setakat 4 petang dengan 954 orang ditempatkan di 29 PPS berbanding 1,171 orang di 30 PPS tengah hari tadi, melibatkan daerah Temerloh, Pekan, Maran, Bera dan Rompin.

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Bera dan Sungai Serting di Bera serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan kekal melebihi paras bahaya sejak semalam.

Di NEGERI SEMBILAN, berdasarkan laporan aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan setakat 4 petang dengan 221 orang daripada 59 keluarga berada di tiga PPS berbanding 472 orang tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan, Wan Hasnan Wan Musa, berkata enam laluan masih ditutup kepada semua kenderaan susulan tanah runtuh termasuk Jalan 6 Felda Titi dan Jeram Toi, Jelebu.

Di SELANGOR, Info Bencana JKM memaklumkan tiada PPS beroperasi hari ini. – BERNAMA

Berita Harian X