Khamis, 6 Januari 2022 | 7:26pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Sesi persekolahan di Johor bermula Ahad ini

JOHOR BAHRU: Sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 di negeri ini akan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan, bermula pada 9 Januari ini.

EXCO Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang, berkata ia membabitkan kumpulan murid yang perlu hadir bersemuka secara penggiliran atau sebaliknya.

Katanya, keadaan banjir di Johor hampir pulih dan usaha pembersihan sedang dijalankan dengan bantuan sukarelawan.

"Mengikut Jabatan Pendidikan Johor, sehingga kini, jumlah keseluruhan mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri adalah seramai 3,985 orang.

"Jumlah murid yang ditempatkan di PPS pada awalnya adalah seramai 547 orang dan sehingga kini yang masih ada di PPS adalah 346 murid, manakala jumlah guru adalah tujuh orang namun kini tiada guru yang berada di PPS.

"Bagi kawasan yang dinaiki air, lima lokasi yang masih aktif iaitu tiga daripadanya di Segamat dan dua pula di Tangkak, manakala kawasan yang beransur pulih adalah di Kota Tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 29 PPS membabitkan sekolah masih dibuka bagi menempatkan mangsa banjir, manakala 11 pula sudah ditutup.

Berita Harian X