Khamis, 6 Januari 2022 | 3:33pm
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

Tuduhan pembalakan punca utama banjir tidak tepat

ALOR SETAR: Aktiviti pembalakan tidak boleh dianggap punca utama banjir di negara ini berikutan terdapat banyak faktor lain yang berupaya mencetuskan bencana itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata fakta sebenar mengenai aktiviti pembalakan perlu dirujuk kepada pihak yang mempunyai kuasa berkaitan seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia atau Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Beliau berkata, keadaan menjadi tidak tepat apabila timbul pelbagai persepsi yang disebar di media sosial sedangkan aktiviti pembalakan negara dikawal ketat termasuk mengikut garis panduan antarabangsa di bawah Protokol Geneva 1925 dan Deklarasi Rio.

"Kalau betul betul pembalakan menyebabkan banjir besar, di Selangor banjir besar tak ada pembalakan. Wilayah Persekutuan tak ada pembalakan pasal apa ada banjir? Selangor tebang kayu di mana, Wilayah Persekutuan ada hutan di mana?

"Jadi tuduhan banjir berpunca daripada pembalakan sebenarnya bukan 100 peratus betul. Sama di Kedah semua banjir orang tuduh balak, macam berlaku di Titi Hayun, Yan, satu negara tuduh ada pembalakan di Gunung Jerai.

"Kita ada fakta Jabatan Mateorologi Malaysia (MetMalaysia) mendapati hujan dalam masa satu setengah bulan turun dalam masa enam jam maka air melimpah, pokok hanyut, batu besar hanyut. Sama di Selangor, hujan begitu banyak dalam masa singkat jadilah banjir, jadi jangan semua banjir pasal balak," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian (MoA) di antara Menteri Besar Kedah Incorporated, Universiti Sains Malaysia, Permodalan Kedah Berhad, Hayun Land Sdn Bhd, Kedah Agro Holdings Bhd dan MHC Trading (M) Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang turut mengikuti misi bantuan banjir di Selangor baru-baru ini berkata, pandangan awam dan pencinta alam mengenai isu pembalakan perlu dijelaskan bagi mengelak salah faham berterusan.

"Saya tengok kayu yang sangkut di sungai dan naik ke rumah orang bukan kayu balak, itu pokok biasa bukan boleh buat balak. Pokok itu cucuh api pun tak jadi bara, siapa biasa duduk dalam hutan tahu. Bukan pokok balak, itu pokok kayu yang senang tercabut.

"Tuduhan kata ada pembalakan, apabila kita tak jawab orang akan percaya, ini masalah netizen yang bercakap kutip fakta tepi longkang dan kata benda itu betul sedangkan sebenarnya tidak. Mereka sepatutnya kena ambil maklumat daripada pihak yang berkuasa.

"Pembalakan ada jabatan yang kawal, semua ikut protokol antarabangsa. Semua peraturan dalam industri pembalakan, perhutanan dan alam sekitar di negara ini berdasarkan protokol yang kita tanda tangan di peringkat antarabangsa. Bukan tanda tangan di Facebook, Twitter, TikTok, itu semua tak boleh pakai," katanya.

Sebelum ini, kejadian banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung dikaitkan dengan aktiviti pembalakan berdasarkan kejadian sisa pokok kayu yang ditemui di kawasan rumah penduduk selepas air surut.

Berita Harian X