Khamis, 6 Januari 2022 | 2:52pm
Misi bantuan pasca banjir digerakkan AADK menerusi sukarelawan Skuad Antidadah AADK diperluas ke seluruh negara. - Foto ihsan AADK
Misi bantuan pasca banjir digerakkan AADK menerusi sukarelawan Skuad Antidadah AADK diperluas ke seluruh negara. - Foto ihsan AADK

Misi bantuan banjir AADK diperluas ke seluruh negara

KUANTAN: Misi bantuan pasca banjir digerakkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi sukarelawan Skuad Antidadah AADK diperluas ke seluruh negara, khususnya di negeri terjejas teruk akibat bencana alam itu.

AADK menerusi kenyataan media hari ini, memaklumkan inisiatif itu antara Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) agensi terbabit dalam usaha membantu dan meringankan beban dihadapi mangsa banjir susulan hujan lebat berterusan sejak 17 Disember lalu.

Katanya, di peringkat awal misi kemanusiaan bantuan pasca banjir oleh Skuad Antidadah AADK dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, terutama di kawasan Klang, Shah Alam dan Hulu Langat.

"Berikutan bencana banjir melanda di beberapa negeri dan atas keprihatinan dan kemanusiaan, Skuad Antidadah AADK segera diperluas dan digerakkan bagi kerja sukarelawan pasca banjir.

"Sehingga 6 Januari lalu, seramai 475 sukarelawan Skuad Antidadah AADK digerakkan di seluruh negara bagi melancarkan misi bantuan pasca banjir.

"Ia membabitkan beberapa kawasan di Lembah Klang, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kelantan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Skuad Antidadah AADK Seberang Prai Tengah turut menggerakkan misi khidmat masyarakat ke negeri terjejas banjir seperti Bentong, Pahang dan Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor walaupun Pulau Pinang tidak dilanda banjir.

"Skuad Antidadah AADK Kedah juga mengambil inisiatif turun padang melaksanakan misi bantuan pasca banjir di Temerloh, Pahang yang turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

"Selain operasi pembersihan di sekitar kawasan dan kediaman penduduk terjejas, Ismail bersama Skuad Antidadah AADK Kedah turut mengagihkan bantuan barangan keperluan kepada kira-kira 300 keluarga.

"Ia termasuk sumbangan wang tunai kepada anak yatim, mualaf dan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA)," katanya.

Orang ramai yang ingin menyertai sukarelawan Skuad Antidadah boleh mendaftar secara dalam talian dengan mengimbas kod QR atau klik pautan borang di https://forms.gle/Ca8N75os6HSGXZxP9 yang tertera di semua platform media sosial AADK.

Berita Harian X