Rabu, 5 Januari 2022 | 7:08pm
Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman (tengah) bersama sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UKM berganding bahu membersihkan kediaman mangsa banjir di Hulu Langat, baru-baru ini. NSTP/Ihsan UKM
Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman (tengah) bersama sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UKM berganding bahu membersihkan kediaman mangsa banjir di Hulu Langat, baru-baru ini. NSTP/Ihsan UKM

KPT lahir ramai sukarelawan, bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Pembabitan warga institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi pelbagai misi bantuan termasuk bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini, berupaya melatih dan menerapkan ciri kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu berjaya melahirkan ramai sukarelawan dalam kalangan warga IPT yang turun padang untuk membantu mangsa banjir.

Jelasnya, proses belajar daripada perbuatan dalam aktiviti kesukarelawanan, secara tidak langsung mampu meningkatkan kebolehpasaran pelajar apabila mereka bergelar graduan.

"Inisiatif yang dicetuskan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ini secara tidak langsung dapat melatih warga IPT untuk mempunyai ciri kesukarelawanan dan untuk pelajar, elemen ini menjadi satu daripada kriteria diidamkan majikan untuk merekrut pekerja.

"Menteri sendiri berjaya menjadi teladan apabila bersama-sama warga IPT untuk menyantuni mangsa banjir, selain turut menyertai kerja pembersihan di hampir semua negeri yang terjejas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammad Shatar berkata, kesukarelawanan pelajar ketika banjir bukanlah perkara baharu dan ia mencerminkan semangat empati yang tinggi dalam kalangan warga kampus.

Selain banjir, katanya, warga kampus juga pernah bertungkus-lumus di 41 pusat pemberian vaksin (PPV) IPT di seluruh negara tahun lalu bagi mengendalikan vaksinasi kepada rakyat Malaysia.

"Penyertaan mahasiswa sebagai sukarelawan di PPV IPT memberikan pengalaman baharu kepada golongan terbabit kerana ia tidak pernah diwujudkan sebelum ini.

"Pelajar terbabit sebagai sukarelawan di PPV IPT atau misi bantuan banjir pastinya mempunyai kualiti kemahiran insaniah berbeza berbanding mahasiswa yang tiada pengalaman berharga itu, terutama dalam aspek kemanusiaan, pemikiran kritis dan kreatif serta kepemimpinan," katanya.

Misi banjir yang dijalankan KPT digerakkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dr Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar dan Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Dr Mohd Suzeren Md Jamilyang bertindak sebagai penyelaras dalam memastikan kelancaran proses aktiviti kesukarelawanan berkenaan.

KPT menggerakkan misi bantuan mengikut negeri yang terkesan akibat banjir. Antara bantuan diberikan adalah membantu proses pembersihan di kediaman mangsa banjir yang dikendalikan IPT di negeri berkenaan dengan kerjasama IPT pelbagai negeri.

Berita Harian X