Rabu, 5 Januari 2022 | 5:27pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pemilik bengkel jangan mencatut

KUALA LUMPUR: Bengkel kenderaan diberi amaran supaya tidak melakukan perubahan harga yang menekan pengguna atau melakukan aktiviti mencatut berikutan permintaan tinggi terhadap alat ganti kenderaan pada masa ini berikutan pertambahan kenderaan terkesan dengan bencana banjir.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada masa ini belum bercadang mengawal arga alat ganti kenderaan, tetapi pengusaha bengkel diingatkan supaya mematuhi undang-undang khususnya Akta Kawalan Harga dan Anti Percatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 di bawah Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002.

Pengarah Penguat Kuasa, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam, berkata sehingga ini pihaknya

menerima satu aduan berkenaan kenaikan harga alat ganti kenderaan yang mengalami kerosakan akibat banjir.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan Ops Cakna dari 1 Disember 2021 sehingga semalam, pihaknya mengeluarkan dua notis kepada premis berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kenaikan harga barangan itu.

Beliau berkata, pemeriksaan menerusi Ops Cakna dilaksanakan di peringkat peruncit bagi barangan elektrik, pakaian, perabot, alat ganti kenderaan dan bengkel kenderaan bermotor bermula pada 1 hingga 31 Januari ini bertujuan membantu menangani isu kenaikan harga barangan terutama di negeri terjejas banjir.

"Usaha ini adalah untuk mendapatkan maklumat awal berkaitan harga jualan dan perkhidmatan sebelum, semasa dan selepas banjir bagi mengesan perubahan harga dan aktiviti mencatut," katanya kepada BH.

Azman berkata, berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan yang dilaksanakan sehingga 3 Januari lalu, sebanyak 105 premis membabitkan 345 barangan diperiksa.

Katanya, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 105 Borang Pengesahan Maklumat Harga Barangan serta dua Notis 21 mengikut Seksyen 21 bawah AKHAP 2011.

Mengulas lanjut Azman berkata, buat masa ini, kementerian juga belum bercadang menguatkuasakan kawalan harga ke atas alat ganti kenderaan.

Bagaimanapun, katanya, semua pengusaha bengkel kenderaan perlu mematuhi Akta Perlindungan Pengguna 1999 di bawah Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002.

"Di bawah peraturan ini, sebarang pembaikan kenderaan oleh mana-mana pengusaha bengkel perlu memberikan sebut harga kepada pemilik kenderaan dan setelah persetujuan pembaikan diperolehi beserta nilai pembaikan, barulah pemilik bengkel dibenarkan membuat pembaikan pada kenderaan yang dihantar.

"Ini memberi peluang untuk pengguna untuk membuat penilaian serta persetujuan sebelum sebarang pembaikan dilakukan dan membayar pembaikan atas persetujuan yang tercatat pada sebut harga tersebut," katanya.

Azman berharap, pemilik bengkel atau pengusaha perkhidmatan membaiki kenderaan supaya bersama membantu kerajaan meringankan beban pengguna yang terkesan dengan musibah banjir yang berlaku ketika ini.

Katanya, mereka perlu mematuhi undang-undang berkaitan pembaikan kenderaan serta undang-undang lain seperti meletakkan tanda harga dan tidak menaikkan harga secara tidak munasabah atau mencatut.

"Kementerian menyeru kepada pengguna yang mengalami masalah dicaj pada kadar yang melampau bagi perkhidmatan yang dilakukan untuk melaporkan kepada kementerian supaya tindakan tegas dapat diambil," katanya.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga yang berkaitan, boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut melalui saluran berikut aplikasi Whatsapp di talian 019-279 4317; portal e-aduan.kpdnhep; Call Centre 1-800-886-800.

Emel di e-aduan@kpdnhep.gov.my; Ez ADU KPDNHEP atau di Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di talian 03-8882 6088 atau 6245.

Berita Harian X