Rabu, 5 Januari 2022 | 2:38pm
Kakitangan Galeri Darurat Bukit Kepong mendayung sampan meninjau keadaan sekitar Galeri Darurat Bukit Kepong yang dinaiki air berikutan limpahan Sungai Muar
Kakitangan Galeri Darurat Bukit Kepong mendayung sampan meninjau keadaan sekitar Galeri Darurat Bukit Kepong yang dinaiki air berikutan limpahan Sungai Muar

11 sungai kini melepasi paras bahaya

KUALA LUMPUR: Jumlah sungai yang mencatat paras air melebihi tahap bahaya meningkat kepada 11 tengah hari ini, berbanding hanya lapan sungai pagi tadi.

Portal Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan empat sungai di Pahang, satu sungai di Selangor, empat sungai di Johor, satu di Melaka dan satu di Sabah melebihi paras bahaya.

Aras air di sekurang-kurangnya lima sungai berkenaan masih menunjukkan peningkatan, dan dua sungai lagi tidak menunjukkan sebarang perubahan sama ada meningkat atau menurun.

Sungai yang melebihi tahap bahaya di Pahang adalah di Rumah Pam Pahang Tua, Pekan (10.08 meter); Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera (26.54 meter); Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan (16.48 meter) dan Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera (31.9 meter).

Tiga daripadanya iaitu Rumah Pam Pahang Tua, Sungai Bera dan Sungai Pahang masih mencatat peningkatan, manakala Sungai Serting tidak menunjukkan perubahan.

Selain itu, tiga sungai di negeri itu sudah melebihi tahap amaran iaitu Sungai Triang di Triang; Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran dan Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong.

Di Selangor, Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam adalah satu-satunya yang melebihi paras bahaya dengan bacaan 4.19 meter.

Di Johor, empat sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Muar di Panchor, Muar (2.22 meter); Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar (2.87 meter); Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat (20.6 meter) dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak (4.01 meter).

Bagaimanapun, tiga daripadanya mencatatkan tren menurun iaitu Sungai Pagoh, Sungai Tangkak dan Sungai Muar di Kampung Awat, manakala Sungai Muar di Panchor masih menaik.

Di Melaka, Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah merekodkan bacaan 2.19 meter, melepasi tahap bahaya dua meter, namun dalam trend menurun.

Selain itu, Sungai Padas di Beaufort pula mencatat bacaan 8.83 meter, melepasi paras bahaya 8.7 meter dan tidak menunjukkan perubahan sama ada meningkat atau menurun.

Berita Harian X