Rabu, 5 Januari 2022 | 12:05pm

Lima negeri rekod penurunan jumlah mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Sabah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini menunjukkan penurunan angka, manakala di Selangor dan Terengganu kekal.

Di Johor, jumlah mangsa banjir di tujuh daerah menurun kepada 5,399 orang daripada 1,430 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 5,923 orang membabitkan 1,585 keluarga, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan dalam kenyataan, berkata ia susulan penutupan PPS di Segamat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tenang dan Dewan Serbaguna MDL Kampung Paya Merah.

Bagaimanapun, terdapat pertambahan satu PPS di Kompleks JKKK Kampung Jawa, Muar menjadikan keseluruhan 81 PPS masih beroperasi melibatkan tujuh daerah terjejas banjir.

"Jumlah mangsa di Segamat kekal tertinggi direkodkan iaitu 3,804 orang diikuti Tangkak (598), Mersing (470), Muar (161), Kota Tinggi (131), Kluang (124) dan Batu Pahat (111)," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Vidyananthan, berkata tiga sungai masih berada pada aras bahaya iaitu Sungai Muar di Kampung Awat dan Buloh Kasap di Segamat serta Sungai Kesang di Kampung Seri Maamor dekat Tangkak.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan 1,846 mangsa banjir masih berada di 32 PPS pagi ini, membabitkan daerah Raub, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin sekali gus merekodkan sedikit penurunan berbanding malam tadi.

Daripada jumlah itu, 1,046 adalah mangsa banjir gelombang kedua di Pahang yang bermula awal tahun ini, manakala bakinya ialah mangsa banjir tengkujuh yang masih belum dibenarkan pulang ke rumah.

Sebanyak 21 lokasi jalan ditutup antaranya Jalan Pekan Sehari Kampung Awah di Maran, Jalan Triang 1 (Bera), Jalan Air Hitam (Kuantan), Jalan Kota Gelanggi (Jerantut), Jalan Belimbing-Seri Makmur (Pekan) dan Jalan Ibam-Kampung Aur (Rompin).

Laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan dua sungai di Bera melebihi aras bahaya iaitu Sungai Bera dan Sungai Serting, selain Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan.

Di Negeri Sembilan, data terkini menerusi aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan mangsa banjir menurun kepada 1,488 individu membabitkan 396 keluarga dengan 15 PPS dibuka setakat pagi ini berbanding 1,628 individu membabitkan 448 keluarga, malam tadi.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,256 mangsa daripada 324 keluarga pukul 8 pagi ini berbanding 1,771 mangsa daripada 472 keluarga, malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra dalam kenyataan, berkata kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 14 kawasan di Jasin.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir tidak banyak berubah dengan 3,385 mangsa banjir daripada 1,329 keluarga direkodkan pagi ini, berbanding 3,365 orang daripada 1,331 keluarga, malam tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan, memaklumkan kesemua mangsa banjir ditempatkan di 30 PPS di enam daerah terjejas banjir terletak di utara dan pantai timur di negeri itu.

Daerah Kota Marudu kekal mangsa banjir paling ramai dipindahkan dengan 2,668 mangsa daripada 1,120 keluarga di 14 PPS, diikuti Pitas (319 mangsa, 120 keluarga, 4 PPS), Telupid (216 mangsa, 49 keluarga, 7 PPS), Sandakan (45 mangsa, 7 keluarga, 1 PPS), Beluran (38 mangsa, 10 keluarga, 1 PPS), dan daerah kecil Paitan (99 mangsa, 23 keluarga, 3 PPS).

Tinjauan udara Bernama di Kota Marudu hari ini mendapati banjir di beberapa kawasan telah mula surut dan cuaca cerah.

Di Selangor, Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di Selangor kekal 40 orang membabitkan dua PPS di daerah Kuala Langat iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

Di Terengganu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir masih kekal 19 orang daripada lima keluarga di dua PPS di Kemaman, pagi ini.

PPS SK Lembah Jabor menempatkan sembilan orang daripada tiga keluarga manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga menempatkan 10 orang daripada dua keluarga.

JPS melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu masih melepasi aras bahaya pagi ini. – BERNAMA

Pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kesedar Sungai Satan antara yang dibuka sebelum ini bagi menempatkan mangsa banjir di Kelantan. - Foto NSTP
Pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kesedar Sungai Satan antara yang dibuka sebelum ini bagi menempatkan mangsa banjir di Kelantan. - Foto NSTP
Berita Harian X