Rabu, 5 Januari 2022 | 10:22am
Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP

Solat di Kelantan kekal jarak 1.6 meter

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan solat Jumaat dan fardu di masjid, surau serta musala sebagaimana yang dikeluarkan sebelum ini.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata pelaksanaan itu dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dengan penjarakan 1.6 meter.

Beliau berkata, selain itu, MAIK juga membenarkan aktiviti masjid seperti zikir, kelas al-Quran, kuliah umum atau khas mengikut kapasiti sebenar masjid yang berkuat kuasa serta merta.

"Kebenaran itu diberikan kepada semua masjid, surau dan musala di seluruh Kelantan. Ia berikutan, Kelantan sudah berada dalam tempoh Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Perkara ini mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini.

"SOP hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan dan jika didapati ada pihak yang melanggar SOP yang ditetapkan ini, masjid, surau dan musala akan diarahkan tutup," katanya.

Berita Harian X