Rabu, 5 Januari 2022 | 12:10am
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Mangsa banjir di Johor, Pahang meningkat malam ini

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor dan Pahang meningkat malam ini, berbanding petang tadi, manakala Negeri Sembilan, Melaka serta Sabah mencatatkan penurunan.

Bagi Selangor dan Terengganu, jumlah mangsa banjir kekal seperti sebelah petang.

Di Johor, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar R Vidyananthan, berkata jumlah mangsa banjir meningkat kepada 5,923 setakat jam 8 malam tadi berbanding 5,588 orang petang tadi dengan jumlah PPS masih beroperasi di tujuh daerah kekal 81 membabitkan 1,585 keluarga.

"Segamat terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,311 orang, Tangkak (601), Mersing (540), Kota Tinggi (131), Kluang (120) dan Muar (118) dan Batu Pahat (102).

"Ketika ini hanya Batu Pahat mengalami hujan, manakala Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Mersing pula mendung, sementara di Tangkak dan Muar cuaca cerah," katanya dalam kenyataan.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir sedikit meningkat malam ini, kepada 2,308 orang berbanding 2,265 orang petang tadi dan 37 PPS beroperasi di lapan daerah iaitu Raub, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan dan Sungai Serting di Padang Gudang, Bera masih melebihi paras bahaya seperti pagi tadi, namun mula menunjukkan trend menurun malam ini.

Di Negeri Sembilan, data terkini menerusi aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan mangsa banjir menurun kepada 1,628 individu membabitkan 448 keluarga dengan 15 PPS dibuka setakat malam ini, berbanding 1,666 individu (462 keluarga) dengan 16 PPS petang tadi.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,771 mangsa daripada 472 keluarga pada jam 8 malam ini berbanding 2,155 mangsa daripada 565 keluarga pada jam 4 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Left Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata semua mangsa terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 11 kawasan di Jasin.

"Seramai 318 mangsa daripada 92 keluarga ditempatkan di enam PPS di Alor Gajah, 1,154 mangsa daripada 300 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Melaka Tengah serta 299 mangsa daripada 80 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Jasin," katanya dalam kenyataan malam ini.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir di negeri ini sedikit menurun dengan 3,365 mangsa dari 1,331 keluarga malam ini, berbanding 3,377 mangsa banjir daripada 1,330 keluarga petang tadi, menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah.

Sekretariat itu berkata, satu PPS iaitu Dewan Kampung Kiabau di Telupid ditutup, manakala 30 PPS masih dibuka di enam daerah terjejas banjir di utara serta pantai timur di negeri itu.

Daerah Kota Marudu kekal dengan mangsa banjir paling ramai dipindahkan dengan 2,659 mangsa daripada 1,115 keluarga di 14 PPS, diikuti Pitas (307 mangsa, 127 keluarga, empat PPS), Telupid (216 mangsa, 49 keluarga, tujuh PPS).

Sandakan (46 mangsa, tujuh keluarga, satu PPS), Beluran (38 mangsa, 10 keluarga, satu PPS), dan daerah kecil Paitan (99 mangsa, 23 keluarga, tiga PPS).

Info Bencana JKM di https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index
Info Bencana JKM di https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index

Di Selangor, aplikasi Info Bencana JKM merekodkan jumlah mangsa banjir ditempatkan di dua PPS di Kuala Langat kekal 40 individu iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

Sementara itu, laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam kekal di tahap bahaya sejak pagi tadi dengan ketinggian paras air pada 3.1 meter setakat jam 8 malam.

Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat yang berada di paras amaran petang tadi kini di tahap waspada dengan ketinggian paras air pada 3.1 meter setakat jam 8 malam dan dalam trend menurun.

Laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/
Laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/

Di Terengganu, kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 19 orang daripada lima keluarga di dua PPS di Kemaman malam ini.

"PPS Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor menempatkan sembilan orang daripada tiga keluarga, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga menempatkan 10 orang daripada dua keluarga.

"Pasukan penyelamat membuat pemantauan di kawasan pesisir pantai berikutan fenomena air pasang besar dijangka setinggi 3.7 meter malam ini," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X