Selasa, 4 Januari 2022 | 10:17pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

9 kawasan terjejas banjir di ibu negara dikecuali bayaran air bulan ini

KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memberikan pengecualian bayaran bil bagi bulan ini kepada pelanggan akaun domestik (Kod Tarif 10) di sembilan kawasan di ibu negara yang terkesan banjir baru-baru ini.

Air Selangor dalam kenyataan berkata, antara kawasan layak menerima pengecualian bayaran bil itu ialah Kampung Pasir, Jalan Batu Bata dan Jalan Rahmat (berhampiran WTC KL), Jalan Raja Chulan, Kampung Chubadak, Kampung Delima, Kampung Kasipillay, Kampung Kolam Air, Lorong Jambu Laut, dan Lorong Raja Mahadi.

katanya, pelanggan yang berada di kawasan terjejas banjir akan menerima pengecualian itu secara automatik bagi tempoh satu bulan yang tidak memerlukan mereka mengisi atau menghantar sebarang borang kepada syarikat pembekal air itu.

"Sepanjang tempoh pengecualian bayaran ini, bil air bulanan akan terus dikeluarkan Air Selangor, namun pelanggan yang layak menerima pengecualian bayaran bil air tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi tempoh yang dinyatakan," katanya.

Menurut kenyataan itu, Air Selangor memahami kesulitan dialami pelanggan terkesan dengan insiden banjir dan berharap bantuan itu akan membantu meringankan beban mereka. – BERNAMA

Berita Harian X