Selasa, 4 Januari 2022 | 6:12pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

9 sungai lepasi paras bahaya

KUALA LUMPUR: Aras air sembilan sungai di empat negeri, iaitu Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, melepasi paras bahaya setakat jam 4.15 petang tadi.

Berdasarkan maklumat Portal Public InfoBanjir bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dua sungai di Pahang, Johor (empat), Melaka (dua) dan Negeri Sembilan (satu) berada pada peringkat amaran merah.

Bagaimanapun, tujuh daripada sembilan sungai itu menunjukkan penurunan dan dua lagi tiada mencatat perubahan aras air.

Di Pahang, Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan mencecah 16.31 meter (m), melebihi paras bahaya 14.9m dan masih meningkat, manakala Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera mencatat 32.66m (paras bahaya 30.5m) tetapi sedang menurun.

Di Johor, empat sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar (2.47m, paras bahaya 2.35m); Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat, (6.34m, paras bahaya 6m); Sungai Segamat di Segamat (9.34m, paras bahaya 9.14m); dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak (4.2m, paras bahaya 4m).

Aras air di empat sungai terbabit menunjukkan pola menurun.

Info Bencana JKM di https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index
Info Bencana JKM di https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index

Di Negeri Sembilan, Sungai Muar di Pekan Rompin melepasi paras bahaya 33m dengan bacaan terkini direkodkan pada 34.08m tetapi menunjukkan pola menurun.

Di Terengganu, Sungai Nerus di Kampung Langkap dekat Setiu menunjukkan pola menaik dengan mencecah 21.11m (paras bahaya 21m).

Di Melaka, dua sungai melepasi paras bahaya ialah Sungai Kesang di Telok Rimba, Jasin (3.72m, paras bahaya 3.7m) dan Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah (2.59m, paras bahaya 2m).

Bagaimanapun, aras air Sungai Kesang tiada mencatat perubahan, manakala Sungai Melaka menunjukkan pola menurun.

Berita Harian X